'K'jaan lembab, ayam sudah disembelih'
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasuiton menggesa kerajaan supaya segera memberi respon terhadap gesaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan dialog ke arah 'konsensus nasional' berhubung isu-isu utama yang berlaku dalam negara.
Beliau berkata setakat ini Pakatan Rakyat - sama ada melalui kenyataan bersama atau daripada pemimpin parti gabungan - konsisten untuk mengadakan dialog tersebut.
Tetapi, beliau menganggap kerajaan bertindak "perlahan" untuk menyambut cadangan tersebut walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi menyokong usaha tersebut melalui kenyataan mereka pada 27 Januari dan 2 Februari lalu.
"Proses menyambut gesaan dialog konsensus nasional berlangsung dengan perlahan kerana reaksi lembab daripada BN.
"Sedangkan rakyat di luar dihidangkan dengan sentimen perkauman... Sembelih ayam untuk lawan politik. Ia tidak membantu menjernihkan keharmonian," kata Saifuddin dalam sidang medianya hari ini .
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga bekas ahli parlimen Machang mengharapkan keikhlasasn kerajaan dengan memberi keputusan segera berhubung perkara itu.
"Kita tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Kalau boleh dilaksana dengan pantas. Bola berada di gelanggang sebelah sana, kita tak boleh tendang bola di sebelah sana," katanya.

