Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pengerusi DAP Karpal Singh setakat ini kekal menjadi anggota Dewan Rakyat sehingga keputusan kes masing-masing diputuskan oleh mahkamah.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said beliau setakat ini masih belum menerima apa-apa arahan berhubung status keanggotaan kedua-dua MP.

"Eloklah, perkara ini, oleh kerana kedua-dua ahli Yang Berhormat yang terlibat (iaitu) Permatang Pauh dan Bukit Gelugor sudahpun membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi, eloklah kita tunggu keputusan mahkamah.

"Dan pada masa yang sama , saya akan merujuk perkara ini kepada Yang Dipertua Speaker untuk membuat runding kerana tiada arahan kepada saya setakat ini," katanya.

Ismail menjawab soalan Karpal (DAP-Bukit Gelugor) mengenai kemungkinan kedudukan mereka dilucutkan susulan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman yang membolehkan hak terlucut.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan pula membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sehubungan itu, Anwar dihukum penjara lima tahun dan membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan Anwar membayar ikat jamin RM10,000.

Sementara pada 11 Mac lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda terhadap Karpal atas kesalahan menghasut bahawa tindakan boleh diambil terhadap Sultan Perak ekoran pertukaran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar pada 2009.

Seksyen 4 Akta Hasutan memperuntukkan maksimum denda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Anwar dan Karpal telah memfailkan rayuan ke atas kesalahan mereka.

 

ADS