Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan MP Bukit Gelugor Karpal Singh kekal status mereka sebagai anggota Dewan Rakyat.

Keputusan itu dibuat selepas Karpal Singh membangkit mengenai statusnya dan Anwar (PKR-Permatang Pauh) pada 31 Mac lalu, selepas mereka didapati bersalah oleh mahkamah dan hukuman yang dikenakan boleh menggugurkan hak mereka sebagai ahli parlimen.

"Memandangkan kedua-dua mereka telah memfailkan rayuan ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi, sabitan hukuman belum ditentukan lagi, maka status mereka kekal sebagai ahli Dewan Rakyat," kata Pandikar selepas sesi soal jawab lisan tamat.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan pula membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sehubungan itu, Anwar dihukum penjara lima tahun dan membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan dikenakan ikat jamin RM10,000.

Sementara pada 11 Mac lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda terhadap Karpal atas kesalahan menghasut bahawa tindakan boleh diambil terhadap Sultan Perak ekoran pertukaran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar pada 2009.

Seksyen 4 Akta Hasutan memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Anwar dan Karpal telah memfailkan rayuan terhadap sabitan mereka.

ADS