Johari tak layan desakan letak jawatan
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Johari Abdul enggan melayan desakan pihak tertentu termasuk ahli yang tidak berpuas hati dengan perjalanan proses pemilihan parti itu yang diketuainya kali ini.
Walaupun dengan pelbagai aduan, bantahan dan protes, termasuk di depan ibu pejabat parti itu semalam, beliau yang juga MP Sungai Petani menganggap desakan seumpama itu sebagai "biasa".
"Saya tidak pasti sama ada mereka ahli ataupun tidak malam tadi. Tapi ada kain rentang yang diletakkan (memberi maksud) tidak seperti yang digambar. Suruh pengerusi JPP meletakkan jawatan. Itu biasalah, orang tak puas hati.
"Semasa berkempen kamu nak guna bas, lori dan bubuh gambar kamu (calon). Silakan. Tapi jangan buat perkara yang tidak boleh diterima. Cara hooliganisme (samseng).
"Jangan melarikan tong (undi) sudahlah mahal. Jangan rosakkan pemilihan dan jangan bergaduh. Jangan pergi jauh daripada itu," katanya sambil mengakui pemilihan ada masalah dan pihaknya berusaha menyelesaikannya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sekumpulan yang sebilangannya dikatakan anggota PKR berhimpun di depan ibu pejabat parti bagi mendesak dan menuntut JPP mempercepatkan aduan dan bantahan mereka berhubung kelemahan proses pemilihan parti pada sesi ini.
Beliau berkata protes malam tadi berjalan dengan aman sekalipun ada gangguan kerana kumpulan itu menggunakan sistem siar raya dengan nada yang kuat dan boleh mengganggu jiran-jiran di situ.
"Mereka mahu kita segera menyiasat aduan mereka. Kita ada keutamaan, berilah masa (dan) bersikap adil kepada kami dan tindakan mesti dilakukan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu.
Proses pendengaran aduan
Turut hadir dalam sidang media itu, timbalannya Tan Yee Kiew dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan Malek Hussin.
Bagi mengurangkan keresahan anggota PKR mengenainya, Malek berkata pihaknya mengadakan sesi pendengaran aduan, bantahan dan rayuan anggota dan calon yang bertanding berkaitan proses pemilihan yang diadakan.
Menurutnya, pihaknya memberi hak pendengaran dengan memanggil pengadu dan pihak yang diadu berkaitan aduan dan bantahan mengenai "proses pemilihan" dan "karenah calon" sebelum memberi syor kepada JPP untuk tindakan selanjutnya.
Untuk itu, Malek berkata pihaknya telah mengadakan pendengaran bantahan di Sabah pada 17, 18 dan 19 Mei lalu dan akan meneruskannya di cabang di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 22 Mei ini.
Manakala pendengaran aduan cabang di Pulau Pinang, Kedah dan Perak akan diadakan pada 23 Mei; cabang di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan (24 Mei) dan di Selangor pada 25 Mei ini.
"Jika mereka gagal hadir dengan jemputan telah dibuat, maka terlucut hak pendengaran dan tidak sesi selepas ini.
"Kita akan meneliti dan membuat pertibangan dan rekomendasi untuk disahkan oleh JPP. Keputusan JPP terhadap bantahan adalah muktamad.
"Ia boleh dirayu, tetapi tidak didengari JPP sebaliknya jawatankuasa rayuan pemilihan," katanya.

