Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Joseph Kurup berkata pelaksanaan hudud di negara ini boleh menjejaskan perpaduan kaum memandangkan masyarakat tidak memahami undang-undang itu.

"Ya, ini menjejaskan perpaduan kaum. Oleh kerana orang tidak faham, maka ia berlaku penentangan.

"Apabila orang menentang sesuatu yang mereka tidak faham, sudah tentu ia merenggang tali persaudaraan antara kita dalam masyarakat pelbagai agama, etnik dan budaya," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada pelaksanaan hudud boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini sewaktu ditemui di Damansara selepas menyampaikan ucapan dalam sidang meja bulat berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan petang ini.

Kurup berkata sidang anjuran Yayasan Pergerakan Moderat Global (GMMF) cukup baik bagi memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk memahami pelaksanaan dan kesesuaian undang-undang Islam itu.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Kurup berkata komuniti multietnik di negara ini menyuarakan kebimbangan mengenai undang-undang itu kerana mungkin disebabkan kurang memahami mengenai maksud pelaksanaannya.

Beliau mengetuai jabatan perpaduan negara dan integrasi nasional JPM berkata hal demikian tidak menghairan kerana topik tersebut "tidak biasa" dibincangkan khususnya bagi pihak luar dari masyarakat Islam.

"(Oleh itu) tujuan sidang meja bulat ini bukan mencari siapa yang benar dan siapa yang salah. Kita mahu memahaminya sebaik mungkin mengenai rang undang-undang persendirian berkaitan hudud daripada pakar yang berkaitan.

"Ia bukan sahaja akan membantu jawatankuasa teknikal bersama (di peringkat pusat) untuk mengkaji bagaimana rang undang-undang itu dapat dilaksanakan.

"Lebih daripada itu, saya berharap perbincangan ini akan memberi gambaran kepada orang ramai gambaran terhadap wacana pelaksanaan hukum hudud di Kelantan," katanya.

Kerajaan Kelantan dan PAS turut diundang dalam perbincangan itu tetapi tiada wakilnya hadir dalam pertemuan hari ini.