'Pemimpin Umno WP patut pertahan niat baik Ku Nan'
Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee membidas pemimpin Umno di peringkat bahagian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang didakwanya 'membisu' untuk mempertahankan cadangan kerajaan bagi menangani isu golongan gelandangan dan pengemis di ibu negara.
B eliau yang juga setiausaha Umno Wilayah Persekutuan berkata, sikap mereka itu membuatkan niat baik Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tersebut telah disalahtafsir pelbagai pihak.
"Saya bagi contoh ringkas, apa yang berlaku kepada Tengku Adnan yang nak buat sesuatu yang baik, akhirnya jadi benda tak betul. Ketua bahagian patut bersuara (mempertahankan) apa yang Tengku Adnan nak lakukan.
"Bukan kita tak nak bagi makan... Apa yang kita cuba lakukan, kita nak bersihkan Kuala Lumpur (daripada kumpulan ini). Pemimpin bahagian perlu bantu dan lihat kena suarakan, kena bagi pandangan.
"Jika tak berminat, kita beritahu dengan baik kepada kepimpinan. Tetapi kita perlu lakukan sesuatu untuk (kebaikan) negara," katanya ketika diwawancara Malaysiakini .
Beliau yang juga pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras turut menegaskan kementerian yang berkaitan juga perlu mengambil berat dan bertanggungjawab menyelesaikan isu tersebut.
Syed Ali mengulas sekaligus mempertahankan langkah kerajaan untuk menangani isu golongan gelandangan dan pengemis dalam lingkungan dua kilometer bandaraya Kuala Lumpur dan NGO boleh memberi makanan percuma di luar lingkungan itu.
'Kita prihatin'
Bekas senator itu bagaimanapun menangkis dakwaan bahawa Umno tidak membantu golongan itu, tetapi sebaliknya menegaskan bahawa pergerakan Wanita dan Pemuda kerap turun padang memberi makanan kepada orang miskin dan gelandangan.
"Bukan kita tak buat... Kita prihatin dengan mereka. Saya pergi ke Chow Kit. Saya nampak orang buta, kita kesian dekat mereka. Takkan kita tak boleh ambil mereka ni. Jaga dan letak di tempat kebajikan," katanya.
Sebagai ketua bahagian Cheras selama 16 tahun dan banyak terlibat dengan kerja akar umbi, Syed Ali turut berharap agar pihak media tidak memutarbelitkan seolah-olah kerajaan tidak menjaga kebajikan golongan tersebut.
"Jangan putarbelit seolah-olah kita tak prihatin kepada rakyat yang susah, (golongan) gelandangan. Kalau kita tak prihatin, kita tak bagilah BR1M. Kita cukup prihatin," katanya sambil memaklumkan bahawa Tengku Adnan mengeluarkan duitnya untuk membantu golongan itu.
Mengulas lanjut, Syed Ali berkata niat baik Tengku Adnan Tengku demi menjaga kebersihan dan mengelak 'mencacat' pemandangan ibu di mata pelancong jika golongan itu termasuk gelandangan berada dalam kawasan bandar.
Oleh itu, demi menuju negara maju pada 2020, Syed Ali berkata cadangan Tengku Adnan itu dilihat sebagai permulaan untuk membersihkan golongan itu di ibu negara khususnya di Bukit Bintang dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
"(Kita) carilah tempat yang sesuai. Jangan nampak (mereka) dalam Kuala Lumpur. (Kita tengok) mereka tidur atas jalan, tidur tepi jalan.
"Tak pakai baju, seluar koyak. Ia mencacatkan Kuala Lumpur. Cakap sahaja gah Kuala Lumpur tapi kita tengok orang macam ni di bandar," katanya.

