Pengerusi tetap Perhimpunan Agung Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, anggota parti beruntung kerana program membangunkan kumpulan usahawan memberi keutamaan kepada golongan itu.

Beliau yang juga pengerusi FAMA berkata kerajaan menawarkan RM200 juta sebagai bantuan kepada usahawan termasuk bantuan dari Agro Bank, dan pinjaman dari TEKUN Nasional.

"Kita memberi keutamaan kepada ahli-ahli Umno. Selain itu Kementerian Pertanian mewujudkan Agro-prenuer muda untuk membantu usahawan, menolong anak bangsa kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan wakil Johor, Datuk Adham Baba yang mencadangkan agar kerajaan memastikan penglibatan lebih besar orang Melayu.

Menurut Adham, agenda ekonomi untuk bumiputera perlu dijadikan agenda nasional memandangkan perbezaan jurang pendapatan yang jauh antara Melayu, Cina dan India ketika ini.

"(Ia) bukan sahaja menekankan pendapatan tinggi tetapi juga merapatkan jurang pendapatan di kalangan orang Melayu yang berpendapatan rendah," katanya ketika membentangkan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno petang ni.

Bagi merealisasikan tujuan itu, Adham turut mencadangkan supaya mewujudkan lebih banyak usahawan di peringkat pertengahan seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Ketika ini, katanya, orang Melayu yang mahu terlibat dalam keusahawanan terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan ketika berurusan di agensi kerajaan.

"Bagi mengatasi masalah itu, Umno Johor mencadangkan sebuah kementerian usahawan untuk mengkoordinasi semua urusan (berkaitan keusahawanan)," katanya.