Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan rakyat umum, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Keyakinan beliau itu dibuat berdasarkan hasil pola pengundian dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin.

"(Saya) yakin (menang), berdasarkan Permatang Pauh dan Rompin. Kami boleh mengambil alih Putrajaya kalau dibubarkan sekarang.

"Saya yakin, sebab di Permatang walaupun majoriti 8,800 undi, tapi peratus keluar mengundi kurang," katanya.

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini , beliau yang lebih dikenali Mat Sabu, berkata isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pembelian sebidang tanah 1MDB oleh Tabung Haji turut menyumbang kejayaan Pakatan Rakyat.

"Kita akan bercakap (isu ini) sebab orang kampung 1MDB kurang faham, (tetapi) GST (mereka) faham, Tabung Haji lagi faham.

"(Isu) tabung haji, kalau keluar dua hari sebelum (pilihan raya) Permatang Pauh, saya ingat BN akan kalah teruk lagi. Jadi Najib, bersihkan nama kamu. Bubarkan parlimen," katanya.

Pada Selasa, Mat Sabu bersetuju dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Najib tidak perlu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tetapi menggesa beliau membubarkan parlimen.

Beliau ditanya untuk mengulas kenyataan Hadi yang menyokong Najib supaya tidak memperdulikan permintaannya untuk meletakkan jawatan.

Ditanya sama ada sokongannya terhadap kenyataan Hadi dibuat kerana "terdesak" menjelang pemilihan parti Jun ini, Mohamad menjelaskan beliau berkata demikian kerana mahu Najib tidak lari daripada tanggungjawabnya.

'M'sia bukan Korea Selatan'

"Di Malaysia bukan seperti di Korea Selatan. Di Malaysia, kalau pemimpin lakukan banyak kesalahan dan letak jawatan, polis, SPRM, tak kejar dia.

"Jadi kalau dia (Najib) letak jawatan, naik saja pengganti, orang akan lupa (kes) 1MDB, GST, jet baru, Altantuya, terlalu banyak (isu).

"Jadi, bagi saya yang terbaik, kamu pegang (jawatan perdana menteri), bubar parlimen, minta mandat rakyat, biar kami jatuhkan kamu melalui pilihan raya," katanya.

Ditanya mengenai prestasi PAS ketika ini, sokongan orang Islam kepada PAS sentiasa bertambah, walaupun sokongan  tersebut belum melepasi 50 peratus sokongan umum orang awam beragama Islam.

"Barangkali di Kelantan, Terengganu dan Kedah kadang kala melebihi 50 peratus, kadang kala kurang daripada itu. Tetapi lain-lain negeri sokongan kepada PAS, (dari kalangan) orang Islam sendiri, masih di peringkat 30 peratus hingga 40 peratus," katanya.

Mohamad berkata beliau mahu pengaruh PAS terus dikembangkan kepada orang Islam dan secara serius kepada bukan Islam.

Ini memandangkan sokongan mereka ketara pada pilihan raya umum 2008 sehingga pengaruh PAS mula tersebar selepas Pakatan Rakyat terbentuk selepas itu, kata Mohamad.

"Kemudian (sokongan) secara serius (kepada) Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013 dan kita lihat pengaruh PAS mula tersebar termasuk di kalangan org bukan Melayu dan bukan Islam.

"Bagi saya kerja ini perlu diteruskan, dengan PAS tak korbankan dasar parti, matlamat parti iaitu Islam sebagai dasar," katanya.

Bagaimanapunn ekoran beberapa masalah termasuk isu hudud dan kemelut dalaman PAS, Mohamad mengakui terdapat sedikit penurunan sokongan orang bukan Islam kepada parti itu selepas pilihan raya umum lalu seperti yang dinyatakan badan pengkaji bebas Merdeka Centre dan Ilham Centre.

'Ada waktu perbaiki'

"Saya yakin akibat salah faham yang berlaku di kalangan mereka dan juga tersalah bawa di antara pimpinan PAS yang cuba mengutarakan pandangan individu tetapi kadang kala ia dianggap sebagai keputusan parti.

"Oleh kerana pilihan raya umum, (tempohnya) dari sekarang mungkin lebih dua tahun lagi, kita yakin kita ada waktu untuk memperbaiki keadaan ini," katanya.

Selepas pemilihan parti berakhir, Mohamad berkata kepimpinan PAS perlu berusaha meyakinkan pengundi bukan Melayu menyokong PAS semula berdasarkan slogan "PAS For All" dan "Rahmat untuk Semua".

"Kita teruskan usaha berdialog dan berjumpa dengan DAP, badan atau NGO bukan Islam. Saya yakin sokongan ini akan pulih menjelang pilihanraya akan datang.

"Saya harap terutama di kalangan pimpinan PAS, kena cari jalan selagi ia tak rosak akidah... Hendaklah dicari jalan supaya ikatan perjuangan antara kaum mesti dipelihara.

"Ini saja jalan untuk menukar pemerintah pada pilihan raya akan datang," katanya.

Sambil menegaskan BN bawah kepimpinan Najib kini berdepan berbagai kritikan, Mohamad berkata sekarang merupakan masa terbaik bagi Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

"Sebab itu saya berkeyakinan penuh usaha gigih perlu dicari utk mencari kata sepakat. Kata sepakat telah ada tapi perlu diperkuatkan lagi menjelang pilihan raya," katanya.

Sokongan terhadap PAS menurun selepas mahu melaksanakan hudud di Kelantan sehingga hubungan antara pimpinan PAS dan DAP dikatakan menjadi renggang.

Lihat Komen
ADS