Bahasa Malaysia bukan bahasa yang hampir mati seperti yang ditanggap segelintir aktivis kesusasteraan namun kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada perkembangan bahasa berkenaan.

Pengarah urusan kumpulan kesenian Pusaka, Pauline Fan berkata, apa yang menjadi masalah adalah cara bahasa berkenaan diajar dan aspek birokrasi yang mengawalnya.

"Ia tidak dilihat sebagai bahasa yang dikagumi untuk meluahkan perasaan, namun peranan anak muda adalah untuk menebus kembali ( reclaim ) bahasa tersebut dengan membaca, menulis dan bertutur dalam Bahasa Malaysia," katanya di sesi dialog bersama penulis Indonesia Goenawan Mohamed dan Avianti Armand di Festival Kata Katha di Kuala Lumpur semalam.

Fan berkata demikian bagi menjawab soalan hadirin yang menganggap Bahasa Malaysia kini berstatus nyawa-nyawa ikan.

Menurut Fan, proses penebusan semula berlaku apabila penuturnya menolak piawaian rasmi yang mengekang bahasa tersebut.

"Gunakan bahasa tersebut dengan cara anda sendiri, bukan mengikut acuan yang diberikan oleh birokrasi atau Dewan Bahasa dan Pustaka yang sebenarnya menyumbang kepada masalah ini," katanya.

Perlu serap pengaruh luar

Sementara itu Goenawan berkata, Bahasa Malaysia berbeza dengan Bahasa Indonesia kerana di negaranya, ia merupakan bahasa yang datang dari akar umbi atas keperluan untuk berkomunikasi antara penduduk di 17,000 gugusan kepulauannya.

"Mungkin masyarakat Jawa dilihat sebagai majoriti tapi di Pulau Jawa juga terdapat bahasa-bahasa tempatan," katanya.

Sementara itu, penulis dan arkitek Avianti berkata budaya tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang perlu dipelihara seperti peninggalan sejarah.

"Cara untuk memelihara budaya adalah untuk mengolah semula budaya lagi dan lagi, dan bukan untuk menyimpannya seperti sebuah monumen.

"Jadi untuk mengolah sesuatu, kita perlu menyerap pengaruh luar," katanya.

Avianti berkata demikian bagi menjawab soalan tentang kemungkinan pengaruh luar berperanan menghakis budaya tempatan.

Tambah Fan pula, budaya akan mati jika ia dibekukan daripada pengaruh luar dan masyarakat pula tidak dibenarkan untuk membuat interpretasi yang sesuai dengan kehidupan harian mereka.

"Jika kita katakan ini boleh dan ini tak boleh, budaya itu akan terasing daripada masyarakat dan akan mati," katanya.

Menurutnya lagi, kebudayaan masyarakat Asia Tenggara bersifat kosmopolitan kerana faktor geografi.

"Perdagangan antarabangsa dan perhubungan maritim yang berkembang luas di rantau ini sejak berkurun lamanya melahirkan budaya yang kaya dengan pelbagai pengaruh luaran," katanya.