Selepas sebelas hari, kempen pengumpulan dana Malaysiakini berjaya melepasi RM300,000, dalam usahanya meraih RM350,000 untuk membayar ganti rugi dan kos guaman terhadap Raub Australian Gold Mine (RAGM).

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran berkata, jumlah yang berjaya diraih setakat ini adalah RM320,000.

"Tiada apa yang mampu saya katakan. Ia tidak dapat menjelaskan rasa terhutang budi kami di Malaysiakini. Kami berjaya meraih RM320,000 dalam masa sebelas hari disebabkan penyokong kami.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang telah menyumbang. Kami akan meneruskan laporan ke arah negara yang lebih baik," katanya.

Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan juga menyatakan penghargaannya.

"Pembaca dan penyokong kami begitu pantas dan bermurah hati dalam menjawab permohonan kami. Ini telah mengukuhkan keyakinan kami terhadap rakyat dan negara ini.

"Ia juga mengukuhkan lagi tekad kami untuk terus membuat yang terbaik - tanpa takut dan pilih kasih," katanya.

Malaysiakini diarahkan membayar ganti rugi RM200,000 dan kos guaman RM150,000 kepada RAGM selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam satu kes fitnah.

RAGM memfailkan saman terhadap Malaysiakini berkaitan tiga laporan berita dan dua video berhubung kerisauan penduduk di Bukit Koman di Raub, Pahang, terhadap kesihatan mereka ekoran kegiatan perlombongan di sana.

Penduduk mendakwa penggunaan bahan kimia berkaitan sianida untuk mengeluarkan emas di lombong di sana.

Pada 23 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan RAGM terhadap Malaysiakini dan tiga kakitangan editorialnya atas sebab ia gagal membuktikan niat jahat dalam laporan yang berkaitan.

Namun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, membatalkan keputusan itu pada 11 Januari lalu, atas sebab hujah pembelaan kewartawanan bertanggungjawab dan "pembelaan Reynolds" yang digunakan Malaysiakini tidak terpakai dalam kes itu.

Pembelaan Reynolds merujuk kepada perbicaraan saman pemimpin Ireland terhadap akhbar The Times yang menyiarkan laporan tokoh terbabit mengelirukan parlimen. Kes itu diputuskan mahkamah United Kingdom pada 1999.

Lombong emas itu kini tidak lagi beroperasi.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Pembelaan Malaysiakini boleh menyumbang ke dalam akaun berikut:

  • Nama akaun: Mkini Dotcom Sdn Bhd
  • Nombor Akaun: 514253516714 (Maybank
  • Kod Swift: MBBEMYK
  • Alamat cawangan: Dataran Maybank, Tingkat 1 Menara A, Dataran Maybank, 59000 Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui kad kredit dengan menghubungi +603 7770 0017 atau melalui PayPal.

Artikel berkaitan:

Malaysiakini mohon bantuan orang ramai kumpul RM350,000

Sumbangan cecah RM100,000

Tabung pembelaan Malaysiakini cecah RM270,000