Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Spekulasi jadi MB Johor: Muhyiddin jawab segala persoalan esok

Umno Johor hari ini membuat kejutan dengan mencadangkan bekas pengerusi perhubungan negeri itu yang kini adalah presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilantik sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Osman Sapian.

Mengulas lanjut cadangan berkenaan, setiausaha akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim berkata bahawa bosnya akan menjawab segala persoalan berhubung perkara itu, esok.

"Tan Sri (Muhyiddin Yassin) sepatutnya hadir ke Parlimen hari ini tetapi dia mempunyai program lain dan program di Rantau pun kita terpaksa batalkan (berkaitan dengan pilihan raya hari Sabtu).

"Insya-Allah, esok Tan Sri akan komen apa sahaja (cadangan yang dibangkitkan) pada program beliau esok," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Johor, Hasni Mohammad berkata cadangan supaya Muhyiddin menjadi menteri besar akan dibincangkan sewaktu beliau mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat ini.

Katanya, Johor sebuah negeri yang rumit dan tidak boleh mempunyai seorang menteri besar yang tidak berpengalaman.

Hasni juga mahu membincangkan kemungkinan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan jika cadangannya tidak diterima.

Osman meletakkan jawatan sebagai menteri besar Isnin lalu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mendedahkan bahawa terdapat tiga hingga empat calon yang sedang dipertimbangkan tetapi enggan mengulas lanjut termasuk desas desus bahawa exco negeri Sahruddin Jamal bakal mengisi jawatan berkenaan.

Muhyiddin pernah menjadi menteri besar negeri itu selama sembilan tahun (1986-1995) dan anggota parlimen Pagoh selama tujuh penggal.

Pada pilihan raya ke-14 lalu, selain kerusi Parlimen, Muhyiddin turut bertanding di DUN Gambir. Beliau menang dengan mengalahkan calon BN M Asojan Muniayandy dan calon PAS Arpin Dahalan dengan mendapat majoriti 3,088 undi.

Selain pernah memegang jawatan pengerusi perhubungan Umno Johor, Muhyiddin juga adalah bekas timbalan presiden Umno. Beliau dipecat daripada jawatan dan keanggotaan parti itu pada 2016 selepas lantang membidas Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Beliau kemudian bersama dengan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Bersatu dan menyertai Pakatan Harapan.

Selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu dan kemenangan besar PH di peringkat persekutuan dan di Johor, spekulasi bertiup kencang mengatakan bahawa Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, pemimpin Bersatu itu menolak cadangan tersebut atas alasan mahu memberi peluang kepada orang lain, tetapi berkata beliau bersedia memberi tunjuk ajar berdasarkan pengalamannya.

Lihat Komen
ADS