Paling Popular
Terkini

DAP sekali lagi akan memanggil wakil rakyatnya untuk perjumpaan di Kuala Lumpur, kali ini mengenai isu pembaharuan lesen loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Perjumpaan yang dijadual diadakan pada Selasa itu hanya seminggu selepas mesyuarat pemimpin DAP berhubung isu pengenalan tulisan Jawi.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu akan diadakan 13 Ogos ini di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

Antara pemimpin utama dijangka hadir mesyuarat itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin, yang juga Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang mengawasi Lynas.

Lynas merupakan satu lagi isu panas yang menjadikan DAP tumpuan kerana pemimpin parti itu sebelum ini banyak berkempen berhubung isu berkenaan dan menggesa loji pemprosesan nadir bumi Lynas, yang menghasilkan sisa radioaktif itu ditutup.

Bagaimanapun, DAP kini dilihat berdepan dilema apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelihatan cenderung untuk memperbaharui lesen Lynas kerana bimbang isu itu menjejaskan pelaburan asing.

"Sama seperti taklimat berhubung tulisan Jawi dan seni khat, mesyuarat ini akan menyaksikan kehadiran semua wakil rakyat DAP.

"Keputusan kabinet mengenai Lynas dijangka diumumkan sebelum 15 Ogos, makan DAP perlu mengadakan mesyuarat sebelum itu," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sumber bagaimanapun tidak mendedahkan perincian lanjut berhubung mesyuarat berkenaan. Namun, antara perbincangan yang mungkin diketengahkan adalah pendekatan dan pendirian DAP sekiranya gagal menghalang pembaharuan lesen Lynas.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet telah menyatakan kesediaan melanjutkan lesen Lynas, yang seharusnya tamat 2 Sept depan, selama enam bulan.

Keputusan itu dibuat pada 31 Julai, namun keputusan muktamad kabinet hanya akan diketahui pada mesyuarat kabinet berikutnya yang dijadualkan pada 14 Ogos, sehari selepas mesyuarat DAP.

Sementara itu, Lynas dijangka memaklumkan kepada kerajaan tentang rancangannya yang komprehensif tentang bagaimana ia berhasrat untuk menangani sisanya, termasuk sisa radioaktif Water Leach Purification (WLP).

Malaysiakini mendapat tahu bahawa sekurang-kurangnya tiga menteri sebelum ini menyokong pembaharuan lesen Lynas. Sementara kesemua menteri lain, yang sebelum ini membantah Lynas kekal pendirian mereka.

Yeo sebelum ini menggesa Lynas untuk mengeksport kembali sisa buangannya di loji Gebeng, Kuantan ke Australia.

Bagaimanapun, Australia telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak akan menerima sisa itu.

Pilihan lain bagi Lynas adalah membina kemudahan pelupusan sisa kekal namun ia dilihat tidak disenangi aktivis anti-Lynas.

Lihat Komen
ADS