Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ahli keluarga warga S'pura hilang berkayak buat pengecaman mayat

Anggota keluarga wanita warga Singapura yang dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, di Pahang, Khamis lepas, tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman malam ini.

Mereka berada di sana bagi membuat pengecaman mayat wanita yang ditemui kira-kira 12.50 tengah hari semalam di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman oleh nelayan tempatan.

Kira-kira 15 anggota keluarga Puah Geok Tin, 57, yang menaiki empat buah kereta bernombor pendaftaran Singapura, tiba di hospital itu pada pukul 11.45 malam dengan diiringi oleh sebuah kereta polis dan sebuah kereta Kedutaan Singapura cawangan Johor.

Tinjauan Bernama mendapati anggota keluarga itu kelihatan sugul dan berpelukan sesama sendiri. Beberapa anggota keluarga dilihat meraung selepas keluar dari bilik mayat.

Bagaimanapun, media tidak dibenarkan merakam gambar atau video serta menemuramah anggota keluarga itu.

Difahamkan bedah siasat akan dilakukan esok.

Khamis lepas, Puah dan seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, kedua-duanya warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Semalam, kayak dinaiki kedua-dua mereka ditemui pada 12.55 tengah hari di perairan Kuantan, Pahang sebelum mayat seorang wanita ditemui nelayan pada 12.50 tengah hari semalam di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS