Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Biar pimpinan utama PH urus soal peralihan jawatan PM

Ahli Parlimen PKR Hassan Karim telah diminta oleh partinya untuk memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dan menyerahkan soal peralihan jawatan perdana menteri kepada pimpinan utama PH.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menghubungi Hassan semalam selepas ahli parlimen Pasir Gudang itu menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam.

"Saya telah menghubungi beliau dan meminta terus beri tumpuan kepada isu-isu rakyat dan tinggalkan perkara itu (peralihan jawatan perdana menteri) untuk diuruskan oleh pimpinan utama PH sesuai dengan perjanjian terdahulu," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur hari ini.

Saifuddin juga tidak bersetuju dengan pandangan Hassan yang melihat PH akan berpecah sekiranya Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan.

"Tidak. Saya merujuk kembali kepada konsensus PH," katanya, merujuk kepada perjanjian bahawa Dr Mahathir akan dinamakan perdana menteri jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum yang lalu.

Pimpinan PH sebelum ini bersetuju agar Presiden PKR Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kelapan, namun tiada garis masa yang jelas ditetapkan.

Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa dia memerlukan tiga tahun untuk memulihkan negara.

Pada Februari, Anwar berkata beliau menjangkakan akan mengambil alih jawatan perdana menteri dalam tempoh dua tahun lagi.

Semalam, Hassan berkata sudah sampai masanya Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana menurutnya perdana menteri itu seperti hilang punca dan hilang daya dalam menyelesaikan beberapa isu kritikal negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS