Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perbezaan reaksi tercetus dalam kalangan orang persendirian atau NGO ekoran laporan bahawa kes penganiayaan seksual di sebuah sekolah tahfiz di Perak tidak diteruskan pendakwaannya di mahkamah baru-baru ini.

Bagaimanapun, sikap yang berbeza ditunjukkan oleh pihak tertentu dalam isu berkenaan, terutama membabitkan kalangan pemimpin politik atau pertubuhan pendesak Melayu.

Anggota Dewan Negara, Yusmadi Yusoff, berkata melihat isu itu sedikit sebanyak ia mengingatkan orang ramai kepada satu lagi kes mahkamah, iaitu membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Justeru katanya keadaan itu mendorong orang awam melihat perkembangan sesuatu kes dengan mengaitkannya dengan politik.

Kata Yusmadi dari perspektif guaman, kedua-dua kes itu tidak mempunyai beza dalam konteks bidang kuasa pendakwa raya yang menentukan sesuatu pendakwaan itu diteruskan ataupun tidak, seperti termaktub bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sebenarnya, kes ini, kedua-duanya tak mempunyai perbezaan [...]

“Jadi isunya di sini, peruntukan tersebut tidak mengambil kira jenis apa jenayah (tersebut), sebaliknya yang dibebankan ialah keterangan (bukti).

“Pun begitu, kita akur, ada setengah kes mempunyai warna politik atau warna orang awam, terutama sekali dalam konteks media sosial hari ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 2016, seorang wanita membuat dua laporan polis berhubung penganiayaan seksual oleh beberapa pelajar di sebuah maahad tahfiz di Perak.

Tahfiz tersebut didakwa dimiliki seorang penceramah terkenal.

Kes tersebut pernah mendapat perhatian hangat apabila tulisan ibu pelajar yang mendakwa menjadi mangsa dikongsi beberapa individu terkenal, termasuk aktivis masyarakat, Syed Azmi dan bekas pelakon, Wardina Safiyyah.

Remaja juga Melayu, Islam

Menurut laporan media, pada Ogos lalu seorang majistret di Ipoh berpendapat ada "kesalahan" yang mungkin berlaku tetapi pertengahan Okt pula, kes itu dikatakan gugur selepas Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan tidak mahu meneruskan pendakwaan.

Berbeza dengan pengguguran kes Lim Guan Eng tahun lalu (bawah bidang kuasa sama oleh AG) yang mengundang komen “terkejut” pelbagai NGO dan pemimpin politik, kes ini agak sunyi daripada reaksi seumpamanya.

Pada awal Sept tahun lalu pula orang ramai dikejutkan dengan keputusan Jabatan Peguam Negara menggugurkan pertuduhan ke atas Lim. Perkembangan itu mendorong pelbagai pihak - terutama pemimpin pembangkang - mengkritik kerajaan dan mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas, memberikan penjelasan atau meletak jawatan. 


Baca AG di sebalik tabir gugur kes Guan Eng, dakwa Umno


Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin, pula berkata semua pihak terutamanya NGO serta kumpulan yang lantang bersuara sebelum ini, wajar mendesak untuk mengambil sikap sama pada kali ini.

“Saya menyeru seluruh pihak, khususnya rakan-rakan NGO serta pihak-pihak yang sebelum ini lantang bersuara tentang nasib Melayu dan Islam untuk bersuara dalam hal ini.

“Pelajar yang mengaku menjadi mangsa itu bukan hanya seorang Melayu dan Islam, bahkan salah seorang 'anak' kita semua dan semestinya perlu dilindungi maruah dirinya,” katanya kepada Malaysiakini.

Biarpun mengakui peguam negara tidak diikat undang-undang untuk mesti memberi alasan atau penjelasan atas pengguguran sesuatu kes, Yusmadi berpendapat lebih baik Thomas tampil memberi pencerahan kes tersebut memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

“Memandangkan kes ini mempunyai kontroversi yang perlu dijelaskan, demi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara, adalah lebih baik dan elok untuk pihak peguam negara atau polis menjelaskan di mana kekurangan kes ini, dan apakah sebab ia dihentikan.

“Inti pokok sesuatu undang-undang ialah keyakinan rakyat terhadap sistem [...].

“Sekiranya keyakinan itu tak timbul, maka gagallah sistem perundangan kita,” kata Yusmadi lanjut.

Rakyat ada hak tahu

Tambah Yusmadi lagi, beliau yakin rakyat dapat menerima dengan baik sesuatu keputusan sekiranya penjelasan baik dengan alasan kukuh dapat diberikan.

Jika tidak, katanya, lebih banyak persoalan atau andaian dibuat oleh orang awam.

Pendirian tersebut selaras dengan gesaan Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof Noor Aziah Mohd Awal, ketika mengulas berkenaan pengguran kes salah laku seksual di sekolah tahfiz itu semalam.

Kata Aziah, Thomas sepatutnya memberi penjelasan mengenai alasan di sebalik keputusan menggugurkan tuduhan jenayah terhadap suspek yang didakwa terlibat dalam penganiayaan seksual tersebut. 


Baca 'HARAPAN lebih dahsyat dari Umno'


Justeru, Yusmadi mencadangkan Jabatan Peguam Negara dan polis dapat mempertimbangkan pandangan Suhakam, dan bekerjasama sesama mereka untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan, terutamanya buat mangsa.

Pendirian senada disuarakan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abdul Bakar yang berpendapat masyarakat mempunyai hak untuk mengetahui secara umum memandangkan ia merupakan kes yang mempunyai kepentingan awam.

“Sekurang-kurangnya peguam negara kena jelaskan dan beri penerangan kepada orang awam, kenapa ia mengambil keputusan tidak meneruskan pertuduhan itu.

“Dia boleh katalah, (misalnya) mungkin bukti tak cukupkah, atau sebagainya, (maka) ia tak boleh teruskan dengan pendakwaan.

"Kalau teruskan pun, mungkin peluang nak menang tipis. (Tapi tetap) kena terangkan kepada orang awam.

“Kuasa memang (di tangan) peguam negara, tapi dalam keadaan kerajaan sekarang yang dikatakan bersifat berlandaskan undang-undang (rule of law), sekurang-kurangya, beliau boleh jelaskan kepada orang awam,” katanya lagi.

Dalam perkembangan Malaysiakini turut menghubungi beberapa pihak yang sebelum ini lantang mengkritik Thomas kerana tidak meneruskan pendakwaan terhadap Lim.

Namun untuk mendapatkan komen terhadap kes tahfiz tersebut, kebanyakan mereka memaklumkan tidak mempunyai maklumat yang banyak, justeru tidak dapat menyatakan pandangan.

Antara yang dihubungi ialah Presiden Isma, Aminuddin Yahaya; Naib Presiden Perkasa, Hassan Basri Muhammad; dan Ketua Penerangan PAS, Kamaruzzaman Mohamad.

Sementara itu Ketua Eksekutif Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Dr Zainal Kling, yang dihubungi Malaysiakini menjelaskan, beliau tidak dapat memberikan kenyataan kerana kekurangan maklumat berhubung isu di Perak itu.

"Sekadar laporan berita, tidak cukup atau tidak patut untuk saya komen," katanya.

Lihat Komen
ADS