Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah diberitahu perjanjian usaha sama 1MDB-PSI gagal
Diterbitkan:  Nov 5, 2019 6:35 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu perjanjian usaha sama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) pada 2009 adalah satu kegagalan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, bersetuju dengan kenyataan itu apabila disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan hari ke-31 kes 1MDB bekas perdana menteri.

Untuk rekod, perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 28 Sept 2009, menyaksikan 1MDB akhirnya membayar AS$1 bilion untuk memperoleh 40 peratus pegangan dalam syarikat itu manakala PetroSaudi Holdings Cayman (sebuah syarikat dikatakan anak syarikat PSI) yang hanya menyuntik aset bernilai AS$108 juta mendapat 60 peratus saham.

Menjawab soalan lain, saksi pendakwaan kesembilan itu tidak bersetuju bahawa dia adalah sebahagian daripada konspirasi untuk meletakkan Najib dalam keadaan terjejas.

Muhammad Shafee: Anda seperti peribahasa Melayu ‘cuba menegak benang basah’, adalah jelas peranan kamu dalam konspirasi itu untuk meletakkan Perdana Menteri (Najib) dalam kedudukan terjejas.

Terdahulu, Shahrol Azral telah digasak berhubung dakwaan minit mesyuarat bertarikh 21 Julai 2010, antara saksi dan Najib disediakan lebih awal oleh Ketua Pegawai Pelaburan (CIO), Nik Faisal Ariff Kamil.

Muhammad Shafee: Nik Faisal telah menyediakan minit mesyuarat pada 21 Julai 2010, sebelum itu, beliau mesti mempunyai bakat istimewa untuk mengetahui apa yang akan berlaku.

Shahrol Azral: Saya tidak dapat mengagak bagaimana keadaan itu, tetapi ini mungkin disebabkan perbincangan awal sebelum mesyuarat berlangsung.

Muhammad Shafee: Anda hanya meneka?

Shahrol Azral: Ya, sama seperti anda menduga Nik Faisal mempunyai bakat istimewa.

Muhammad Shafee menjawab beliau tidak meneka tetapi kesimpulannya datang daripada apa yang didokumenkan sebelum ini.

Saksi itu juga membalas dengan negatif cadangan Muhammad Shafee bahawa dia boleh menjadi sebahagian daripada konspirasi dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan Nik Faisal.

Terus digasak oleh Muhammad Shafee, saksi itu mengakui Bank Negara Malaysia (BNM) tidak diberitahu mengenai perpindahan dana AS$700 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low, Good Star Ltd, dalam satu pertemuan antara bank pusat itu dan wakil 1MDB pada 2010.

Shahrol Azral berkata pada masa itu mereka (1MDB) masih menganggap Good Star adalah sebahagian daripada PSI.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan, dengan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.

- Bernama

Lihat Komen
ADS