Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK TG PIAI l Pilihan raya kecil Tanjung Piai menyaksikan pelbagai pengumuman pemberian bantuan yang bermula sebelum hari penamaan calon pada 2 November lagi.

Di pihak kerajaan, mereka mendakwa bahawa pemberian ini merupakan bantuan yang diperlukan perhatian segera, atau peruntukan kebetulan yang telah diluluskan sebelum ahli parlimen Dr Md Farid Md Farik meninggal dunia pada akhir September lalu.

Malaysiakini menyenaraikan bantuan atau janji-janji yang telah diumumkan setakat ini.

13 Okt - RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan serta pembinaan sebuah dewan di Kukup.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata peruntukan itu telah diluluskan lebih awal, dan beliau hanya berada di situ untuk memastikan projek-projek itu tidak tergendala selepas pemergian Farid.

15 Okt - Peruntukan RM230,000 untuk geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), RM127,776 untuk lampu jalan luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun berkata peruntukan itu telah diluluskan sebelum pilihan raya kecil itu diumumkan.

19 Okt - RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ia adalah sebahagian daripada RM14.6 juta yang diminta oleh Dr Farid untuk Tanjung Piai sebelum dia meninggal dunia.

22 Okt - RM7 juta untuk projek pembangunan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan itu telah diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

1 Nov - RM2 juta untuk nelayan, RM56,000 bantuan khas untuk rumah terbakar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, mengumumkan dana RM3 juta untuk menambah baik tiga jeti di Tanjung Piai.

Menteri Pertanian Salahuddin Ayub berkata RM1 juta diperuntukkan untuk membantu 78 penternak ikan sangkar yang terjejas akibat pencemaran. RM1 juta lagi merupakan peruntukan bagi pemulihan jeti nelayan uzur.

Salahuddin juga menyerahkan bantuan kerajaan sebanyak RM56,000 kepada seorang nelayan yang rumahnya dibakar.

Tanpa rasa bersalah, menteri itu berkata bahawa kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan menyekat bantuan hanya kerana terdapat pilihan raya kecil.

4 Nov - Wee menjanjikan tajaan umrah untuk warga emas

Calon BN Wee Jeck Seng berjanji bahawa jika dia memenangi pilihan raya itu, beliau akan menghidupkan semula program tajaan sebelum ini untuk menghantar warga emas Muslim ke Mekah untuk mengerjakan umrah.

4 Nov - RM5,000 untuk sekolah Cina

Salahuddin membuat sumbangan sebanyak RM5,000 kepada SJKC Pei Chio Kukup Laut. Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata adalah perkara biasa bagi menteri dan timbalan menteri untuk membuat peruntukan sedemikian.

6 Nov - RM1,000 bantuan khas untuk nelayan

Kerajaan negeri Johor mengumumkan bantuan khas sebanyak RM1,000 untuk nelayan di Johor Selatan, termasuk 544 nelayan di Tanjung Piai. Peruntukan untuk Tanjung Piai itu adalah RM544,000.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata bantuan itu diberikan setiap tahun sejak 2015 kepada nelayan yang terjejas oleh pembangunan di Johor Selatan.

11 Nov - Enam sekolah akan dapat dewan baru

Enam sekolah di Tanjung Piai akan mendapat dewan baru tahun depan. Maszlee berkata projek-projek ini telah dimulakan oleh arwah Dr Farid. Pembinaan tersebut akan bermula 1 Dis.

Kempen untuk pilihan raya kecil Tanjung Piai berada pada minggu terakhir. Tarikh mengundi pada 16 Nov.

Lihat Komen
ADS