Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Si gemuk, sila buat kerja rumah, sebelum marah orang’
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 2:08 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

PRK TG PIAI l Sindir-menyindir dan saling membidas adalah lumrah dalam kempen dan ceramah pada setiap kali pilihan raya diadakan.

Pilihan raya kecil (PRK) di parlimen Tanjung Piai yang dijadualan pada Sabtu ini juga tidak terkecuali.

Semasa berkempen dan berceramah di Bandar Pekan Nanas Baru, malam semalam, Menteri Industri Utama Teresa Kok menyelar pihak lawan, khususnya calon BN yang diwakili oleh pemimpin MCA, Wee Jeck Seng.

Ini susulan mereka menaikkan papan tanda dan poster “kerajaan PH menyinggung perasaan kerajaan China serta India, bolehkah minyak sawit dijual?”

Beliau berkata, isi kandungan billboard tidak menepati fakta.

“Tahun ini, eksport ke China telah meningkat sebanyak 24 peratus. Manakala eksport ke India meningkat 98.2 peratus pada masa yang sama.

“Oleh itu, pasukan kempen dan calon MCA, terutamanya si gemuk (Presiden MCA) Wee Ka Siong, sila buat kerja rumah. Periksa betul-betul baru marah orang,” katanya.

India dikatakan marah dengan ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan konflik di wilayah Jammu-Kashmir.

Manakala China pula dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Malaysia yang mahu membatalkan beberapa projek mega yang dimeterai semasa pentadbiran BN dahulu.

Dalam ceramahnya, Kok juga menyentuh isu kerjasama Umno-PAS, yang menurutnya, tauke di belakang calon MCA Wee Jeck Seng adalah BN dan PAS.

“Tauke di belakang Jeck Seng, satu main isu perkauman, satu main isu keagamaan. Negara ini berpecah atas isu perkauman dan agama semenjak 50 tahun lepas.

“Kami bersusah-payah (menukar kerajaan). Jikalau anda mengundi meraka untuk memberi pengajaran kepada PH, adakah anda mengharap PH menyusuri jalan lama BN?

“Jikalau bukan, undi anda tidak boleh beri kepada BN. BN melambangkan ekstremis perkauman dan agama!” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Selain daripada Kok, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Pengelora PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong juga berucap.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dijangka berkempen dan berucap malam esok.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Selain calon PH, Karmaine Sardini dan calon BN Wee Jeck Seng, turut bertanding adalah wakil Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Lihat Komen
ADS