Malaysiakini
BERITA

Dr M, Anwar perlu kerjasama dalam satu pasukan

Liew Chin Tong

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Jun 2020, 1:31 tengahari

ULASAN |  Tun Dr Mahathir Mohamad adalah rakan dan sekutu kita. Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Shafie Apdal. Kita sama-sama telah bekerja keras untuk memujuk keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018.

Perpaduan telah menang pada ketika itu, namun kita kini berada dalam saat yang begitu sukar dalam perjuangan politik negara. Setiap keputusan akan membawa kesan yang amat besar kepada Malaysia.

Sejak tumbangnya kerajaan hasil rampasan kuasa Langkah Sheraton, pimpinan pusat DAP dengan sabar dan berhati-hati bergerak selangkah demi selangkah bersama rakan-rakan dalam ‘Pakatan Harapan Plus’.

Dua objektif utama adalah supaya gabungan itu kekal bersama dan mandat rakyat yang telah dicuri oleh para pengkhianat dalam kalangan kita, dengan bantuan Umno dapat dituntut semula.

Mahathir adalah kawan

Mereka yang merancang rampasan kuasa Langkah Sheraton lah yang memaksa Dr Mahathir untuk menerima kerajaan gabungan antara partinya Bersatu dengan barisan Umno-PAS. Beliau menolak dan meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020. Beliau enggan bekerjasama dengan orang seperti Najib Razak yang telah didakwa di mahkamah kerana merompak kekayaan negara.

Pada pagi 29 Februari, Pakatan Harapan kembali bersama Dr Mahathir dan menamakan beliau sebagai calon perdana menteri. Pada petang hari yang sama, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim; di bangunan Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

Pada 1 Mac, sambil Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, kesemua ahli parlimen PH, termasuk Anwar, berhimpun menyokong Dr Mahathir untuk menuntut kembali mandat yang telah dicuri.

Kita memerlukan supaya kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar bekerjasama dalam satu pasukan. Menggambarkan Dr Mahathir sebagai pihak lawan ialah asas yang salah. Musuh sebenarnya ialah Muhyiddin, Najib, Azmin Ali dan sekutu mereka dalam Perikatan Nasional.

Dakwaan cubaan membeli ahli politik oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin di Sabah dengan tujuan menumbangkan kerajaan negeri Sabah pimpinan Warisan turut memberi isyarat siapakah musuh yang sebenarnya.

Warisan jambatan pengukuhan

Jika ada sesiapa dalam PH yang melayan Hamzah – salah seorang perencana Langkah Sheraton – sebagai sekutu berpotensi, individu tersebut sedang melakukan kesilapan yang amat besar.

Shafie Apdal dan parti Warisan adalah penghubung yang memperkukuh usaha kita untuk menuntut semula mandat yang telah dicuri.

DAP, PKR dan Amanah mempunyai sejumlah 91 kerusi di parlimen. Angka ini tidak mencukupi dalam memerangi gabungan kleptokrat Muhyiddin yang begitu goyah dan tidak memiliki asas moral malah sanggup melakukan segala taktik kotor untuk kekal berkuasa.

Warisan dan kumpulan penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu berperanan sebagai “jambatan” menuju 112 kerusi, majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. 

Bersama mereka, 91 kerusi sedia ada ditambah menjadi 109, malah mungkin lebih lagi. Ketika 109 kerusi ini digabungkan dengan kuat, laluan menuntut semula mandat melalui Parlimen adalah lebih kukuh.

Peranan besar Warisan inilah yang mencetuskan kemarahan Hamzah. Saya amat bersyukur kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak sedikit pun goyah, dan kami melahirkan rasa setiakawan yang kuat buat rakan-rakan Warisan dan PH di Sabah.

Kemungkinan pilihan raya mengejut

Cara terbaik untuk menuntut semula mandat yang dicuri ialah mendapatkan semula sokongan ahli-ahli parlimen yang meletakkan kepentingan negara melampaui kepentingan peribadi. 

Pun begitu kita bersedia berdepan sebarang kemungkinan pilihan raya diadakan, terutamanya apabila kita mengetahui bahawa kerajaan hari ini tidak stabil dan berdepan pergolakan dalaman.

Jika berlakunya pilihan raya dalam bulan-bulan mendatang, PH perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir, Anwar dan Warisan untuk menewaskan Perikatan Nasional.

Dalam PRU 2008 dan 2013, PH memenangi 80 daripada 165 kerusi di Semenanjung. Pada 2013 dan 2018, kita menyasarkan 100 kerusi di Semenanjung supaya kita cukup kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan. 

Dengan sekadar 80 kerusi, kita gagal dalam tahun 2013. Pada tahun 2018, Pakatan akhirnya berjaya memenangi 98 kerusi di Semenanjung.

Muhyiddin dikhabarkan sangat yakin beliau boleh menang dalam PRU. Saya tidak fikir ia begitu mudah. Daripada 165 kerusi di Semenanjung, jika peratus keluar mengundi adalah lebih 80 peratus secara keseluruhan, saya yakin PH akan menang sekurang-kurangnya 85 kerusi.

Dengan sokongan di Sabah dan Sarawak akibat keresahan mereka terhadap PN, terutamanya peranan PAS dan Umno, saya menjangkakan pertambahan substantif di Borneo. 

Sabah dan Sarawak adalah penentunya jika terjadi pilihan raya mengejut.

DAP sokong Anwar

Rakaman audio mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 yang kini tersebar luas telah membuktikan bahawa pimpinan DAP dan Amanah menjuarai gabungan Mahathir-Anwar berasaskan perjanjian 7 Januari 2018. Ini bermakna Anwar lah yang akan mengambil alih sebagai perdana menteri selepas Mahathir, tiada yang lain.

Pada 25 Februari, DAP dan Amanah memutuskan untuk menyokong Anwar dan mengarahkan kesemua Ahli Parlimen masing-masing untuk menyokong presiden PKR itu ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 26 Februari.

Sepanjang 20 tahun lalu, DAP dan Amanah (yang ramainya dahulu dalam PAS) telah menyokong Anwar biar apa pun terjadi, dan tidak pernah meninggalkannya.

Perjanjian Anwar-Mahathir pada 2017-18 malah sebenarnya terjadi hasil sokongan penuh DAP dan Amanah, meski dibantah keras oleh Azmin Ali. 

Pimpinan PH menyedari bahawa hanya jika Mahathir menjadi perdana menteri maka Anwar mempunyai ruang untuk kembali ke puncak selepas dipenjarakan, memandangkan kedua-dua Muhyiddin dan Azmin turut teringin mahu jadi PM.

Seperti yang dijelaskan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke semalam, dua pilihan telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei.

Pilihan pertama – Anwar sebagai PM dan Mukhriz Mahathir timbalannya tidak diterima kerana pilihan ini tidak dapat memberikan capaian 112 kerusi dan lebih lagi.

Pilihan kedua – Dr Mahathir sebagai PM dan Anwar sebagai timbalannya.

Selepas beberapa mesyuarat lagi, telah diputuskan bahawa bagi pilihan kedua, Dr Mahathir akan menjadi PM selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Hamzah Zainuddin bukan kawan

Kami berpendapat bahawa langkah paling terjamin bagi Anwar untuk menjadi perdana menteri adalah melalui kerjasama dengan Dr Mahathir dan Warisan.

Melalui kombo Dr Mahathir-Anwar dan dengan sokongan DAP, Amanah, Warisan dan kumpulan penyokong Dr Mahathir dalam Bersatu, Anwar akan menjadi Perdana Menteri enam bulan setelah gabungan besar itu kembali ke tampuk pimpinan.

Sebuah gabungan yang kukuh bersama Anwar, Dr Mahathir, Shafie, PKR, DAP dan Amanah akan mempunyai kualiti dan kekuatan yang mencukupi untuk menuntut kembali mandat yang telah dicuri. 

Ia juga dapat membina pentadbiran yang berkelangsungan di mana kedua-dua kekuatan Dr Mahathir dan Anwar akan tetap mendukung gabungan itu walaupun pemimpin mereka bukan perdana menteri.

Walaupun berlakunya pilihan raya mengejut, gabungan ‘Pakatan Harapan Plus’ yang berpadu mempunyai kapasiti, kemampuan dan sokongan orang ramai untuk menewaskan gabungan kleptokratik Muhyiddin-Najib.

Dan jangan kita lupa, Hamzah Zainuddin bukanlah kawan mahupun sekutu. Dia sememangnya dari pihak lawan.


LIEW CHIN TONG ialah Anggota Jawatankuasa Pusat DAP dan bekas timbalan menteri pertahanan PH.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.