Malaysiakini
BERITA

Semua daerah Pulau Pinang kini zon merah

Aidila Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Jan 2021, 6:26 pagi

Kesemua daerah di Pulau Pinang berada dalam zon merah selepas lonjakan sektor pelancongan susulan pelonggaran kebenaran rentas negeri bulan lalu.

Ini bermaksud, semua daerah merekodkan lebih 40 kes Covid-19 sejak 14 hari lalu. 

Seberang Perai Utara, kawasan zon kuning terakhir berubah merah semalam selepas merekodkan lebih 20 kes baru.

Kawasan ini telah merekodkan 57 kes sejak dua minggu lalu.

Georgetown menjadi mukim paling terjejas dengan 211 kes dalam masa dua minggu dan Mukim 12 di daerah Barat Daya (352 kes).

Mukim 12 Barat Daya termasuk Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

Zon merah juga ditandakan di Mukim 13, Timur Laut dan Mukin 14, Seberang Perai Selatan.

Mukim 13 di Timur Laut termasuk kawasan di Batu Uban, Paya Terubong, Taman Jubilee, Pulau Jerejak, manakala Mukim 14 Seberang Perai Selatan merangkumi kawasan di Simpang Ampat.

Sempadan mukim boleh dilihat sini.

KM: Rakyat minta tenang, kes naik sebab saringan pekerja asing

Pada 2 Jan lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, peningkatan kes di negeri itu disebabkan oleh saringan secara besar-besaran yang dilakukan terhadap pekerja asing kawasan kilang dan tapak pimbanaan.

Tambahnya, kebanyakan kluster yang dikesan adalah kluster sedia ada, termasuk Kluster Rawa Akasia yang mempunyai 130 kes sehingga kini dan merupakan kluster aktif tertinggi di Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya minta penduduk Pulau Pinang kekal tenang dan tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Mukim 12 dan Mukim 13 (Timur Laut),” katanya lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendedahkan kawasan tepat Kluster Rawa Akasia dan hanya berkata ia telah merebak di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Kata KKM lagi, Kluster Rawa Akasia merupakan kluster tempat kerja yang dikesan pada 24 Dis lalu di daerah Timur Laut susulan saringan wanita berusia 50 tahun yang mempunyai gejala.

Pengesanan kontak rapat mendapati jangkitan telah merebak ke tiga kawasan lain menerusi kontak sosial dan keluarga.

Kata KKM lagi, lebih 100 kes meliputi pekerja asing di empat kawasan Pulau Pinang.

Pelancong sebarkan Covid-19

Sementara itu, negeri lain turut merekodkan peningkatan kes berhubung perjalanan rentas negeri, dengan Perlis satu-satunya negeri yang tidak merekodkan sebarang jangkitan baru sejak 14 hari lalu.

Sejak semalam, Kelantan mempunyai 58 kes aktif melibatkan mereka yang merentas negeri, termasuk dari Kuala Lumpur dan Putrajaya yang disahkan positif semalam.

Dilaporkan kluster Belukar semalam, melibatkan seorang individu yang melakukan perjalanan dari kawasan berisiko tinggi kemudian menyebarkan wabak tersebut kepada 17 kontak lain di Machang.

Semalam, Terengganu merekodkan tiga kes melibatkan mereka yang ke Negeri Sembilan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

12 kes baru di Perak sejak semalam juga disebabkan “jangkitan dari luar kawasan negeri itu” manakala Sarawak secara konsisten merekodkan kes melibatkan mereka yang memasuki negeri itu sejak minggu lalu.

Semalam, Sarawak melaporkan dua kes di Bintulu dari Kuala Lumpur.

Di Melaka, seorang individu berumur 27 tahun positif Covid-19 selepas pulang dari Cameron Highland, Pahang dan Petaling Jaya, Selangor.

Di Pahang, tiga dari sembilan kes baru melibatkan mereka yang melakukan perjalanan dari Johor, Kuala Lumpur dan Sabah.

Sementara itu, Negeri Sembilan melaporkan enam kes baru melibatkan perjalanan rentas negeri.

Menariknya, Selangor, yang merupakan zon merah, melaporkan hanya satu kes import dari negeri lain daripada jumlah 8,082 kes aktif.

Bagaimanapun, tidak jelas berapa banyak kes yang dilaporkan melibatkan penduduk tempatan yang pernah melakukan perjalanan ke luar negeri.

Johor, Kedah, Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur serta Sabah tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai punca jangkitan kes baru

Bagaimanapun, menteri Sabah Masidi Manjun berkata, kes yang dikesan baru-baru ini di negeri itu berkaitan dengan aktiviti penanaman padi dan perayaan Krismas

Tambah Masidi, Kluster Lintas Seraya, yang sehingga kini mencatatkan 16 kes, dikesan di sebuah restoran di Lintas, Kota Kinabalu, di mana perayaan sambutan Krismas diadakan.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.