Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik Thai-Kemboja meletus lagi: Kawal diri, gesa Anwar
Diterbitkan:  Dec 8, 2025 1:38 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja melaksanakan kawalan diri yang maksimum, susulan konflik baru yang meletus semula antara kedua-dua negara itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara itu harus mengekalkan saluran komunikasi terbuka, dan menggunakan sepenuhnya mekanisme yang ada.

“Malaysia bersedia untuk menyokong langkah-langkah yang dapat membantu memulihkan ketenangan dan mencegah insiden lanjut,” kata Anwar yang menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata semula ini.

Thailand hari ini dilapor melancarkan serangan udara terhadap Kemboja selepas pertempuran baru tercetus di sempadan kedua-dua negara.

Ia dipercayai sebagai tindakan balas terhadap serangan awal pagi yang mengorbankan seorang askar Thailand dan mencederakan dua orang lagi.

Dalam kenyataan terbaru sebentar tadi, Anwar berkata dia amat bimbang dengan laporan berkaitan pertempuran bersenjata di sepanjang sempadan bersama mereka.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban atau cedera,” katanya.

“Pertempuran yang kembali berlaku ini berisiko menghancurkan usaha berhati-hati yang dibuat untuk menstabilkan hubungan antara dua negara jiran ini.”

Anwar berkata, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) tidak mampu melihat pertikaian berpanjangan terjerumus dalam kitaran konfrontasi.

“Keutamaan segera ialah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam, dan kembali ke jalan diplomatik yang disokong oleh undang-undang antarabangsa dan semangat kejiranan yang menjadi sandaran Asean,” katanya.

Malaysia adalah pengerusi semasa Asean.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS