Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin undur: Patut bincang dulu, kata Pemuda PN
Diterbitkan:  Dec 30, 2025 11:39 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Sayap pemuda tiga parti komponen Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa sebarang keputusan utama gabungan itu, termasuk isu peletakan jawatan pengerusinya, Muhyiddin Yassin, mestilah dicapai melalui konsensus semua parti.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham; Ketua Pemuda Gerakan, Lee Boon Shian; dan Ketua Pemuda Kebangsaan Parti India Progresif Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran berkata langkah itu selaras dengan Fasal 13 Perlembagaan PN.

"Kami berpandangan dengan tegas bahawa semua keputusan atas nama Perikatan Nasional mestilah dirujuk, dibincang dan diputuskan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

"Sebarang keputusan atau pendirian atas nama Perikatan Nasional juga bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral (sebelah pihak).

"Biarpun semua parti komponen boleh menyatakan pandangan, namun pendirian Perikatan Nasional harus diputuskan secara konsensus bersama semua parti-parti komponen," kata mereka.

Menteri besar lama dan baru Perlis, gambar hiasan

Bagaimanapun, kenyataan bersama ini tidak melibatkan penglibatan sayap pemuda daripada PAS.

Muhyiddin pagi ini mengesahkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN mulai 1 Januari melalui kenyataan ringkas.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, susulan tindakan pemimpin Bersatu Perlis yang menggulingkan menteri besar daripada parti rakan.

Tegaskan politik hikmah

Sementara itu, kenyataan tiga sayap pemuda PN hari ini turut menggesa kepimpinan di semua peringkat gabungan tersebut untuk mengamalkan budaya politik yang lebih beretika demi kepentingan rakyat.

"Pemuda Perikatan Nasional menggesa kepimpinan di semua peringkat untuk mengamalkan politik hikmah, bijaksana serta memelihara adab dan etika gabungan bagi merealisasikan agenda lebih besar demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Malaysia," menurut kenyataan itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS