Rafidah, Shahrizat dan Kamilia diminta berbincang...
Beberapa pemimpin Wanita Umno bahagian menggesa ketiga-tiga pemimpin utama pergerakan itu supaya memikirkan dengan mendalam bagi menyelesaikan soal peralihan kuasa.
Kelmarin, Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz berkata tarikh peralihan kuasa kepada Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Jalil kekal pada Jun 2009.
Bercakap selepas mesyuarat exco Wanita di ibunegara kelmarin, beliau juga mengumumkan bahawa jawatan ketua dan naib tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu, Mac depan.
Bagaimanapun, semalam Datuk Kamilia Ibrahim, menegaskan bahawa beliau tetap akan bertanding jawatan naib ketua.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Wanita Umno Gopeng, Hamidah Osman mahu perkara itu harus diselesaikan dengan baik dan bijak demi perpaduan Wanita Umno.
"Apabila timbul masalah ini, sepatutnya mereka memikirkan (keputusan) untuk keseluruhan Wanita. Ini tidak, kita (wanita) kena fikir untuk mereka.
"Saya tidak mahu adanya pergolakan sehingga menjejaskan Wanita dan Umno," kata beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat.
Berikutan itu, Hamidah menggesa ketiga-tiga pemimpin wanita itu kembali duduk semeja untuk memikirkan sedalam-dalamnya kesan mengekalkan tarikh peralihan kuasa dan hasrat Kamilia untuk bertanding jawatan naib ketua.
Peralihan kuasa
Hamidah berkata, sekiranya berlaku pertandingan, ia sedikit sebanyak akan menimbulkan keretakan dalam pergerakan itu.
Wanita bahagian tersebut telah mencalonkan Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua dan Kamilia sebagai naib ketua.
Hamidah bagaimanapun enggas mengulas bila ditanya mengapa Rafidah berkeras supaya peralihan kuasa kekal Jun tahun depan.
Sementara itu, ketua Wanita Kuala Pilah Datuk Norhayati Omar, turut menggesa Rafidah supaya mengkaji semula tarikh peralihan kuasa kerana sebarang pertandingan boleh mengakibatkan perpecahan dalam Wanita Umno.
Wanita bahagian Kuala Pilah turut mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua dan Kamilia sebagai naib ketua.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Norhayati berkata jika Shahrizat memangku jawatan ketua wanita, ia akan menimbulkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Beliau berkata pihaknya akan menunggu reaksi Rafidah dan memberi masa kepada Shahrizat untuk berbincang dengan ketua Wanita itu.
"Saya memberi masa kepada Datuk Seri Shahrizat untuk berbincang dengan Tan Sri Rafidah dan Datuk Kamilia supaya jalan penyelesaian dapat dicari," katanya.
Mesti berunding
Mengulas tindakan Kamilia yang tetap dengan keputusannya mahu bertanding jawatan naib ketua, beliau berkata:
"Dia ada hak untuk menawarkan diri untuk bertanding. Malah beliau menawarkan diri terlebih dahulu dari Shahrizat," tambah Norhayati.
Sementara itu, Ketua Wanita Umno Taiping, Yatimah Khalid pula berkata, beliau tidak bersetuju dengan pelan peralihan kuasa itu dan menggesa Rafidah berunding dengan Shahrizat dan Kamilia untuk mencari penyelesaian terbaik.
"Tiga bulan (Mac hingga Jun) tak banyak yang boleh buat. Serah elok-elok kepada Datuk Seri Shahrizat supaya tidak ada perpecahan," kata Yatimah
Menurutnya, pelan peralihan itu tidak ada dalam perlembagaan Umno dan tidak ada tradisi dalam Umno.
Beliau Rafidah mencontohi bagaimana Tan Sri Aishah Ghani menyerahkan jawatan ketua Wanita kepada beliau dahulu.

