Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat sokongan padu daripada perwakilan dan akar umbi bahagian-bahagian di Perak untuk merebut jawatan ketua pergerakan tersebut Mac depan, kata seorang pemimpin kanan pergerakan tersebut.

shahrizat women ministry parliament sexist remark 180507 ponder Pemimpin dari Perak itu berkata, sehingga ini, 22 daripada 24 bahagian di negeri tersebut memberi sokongan kepada Shahrizat.

"Penerimaan (mereka) cukup baik walaupun terdapat dua bahagian yang tidak menyokongnya," kata pemimpin tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan bahagian yang tidak menyokong Shahrizat.

Selepas mesyuarat bahagian Umno November lalu, Shahrizat yang juga penasihat khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mendapat 74 pencalonan untuk merebut jawatan tersebut.

Manakala penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz memperolehi 117 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Menurut pemimpin dari Perak itu, jentera kempen Shahrizat telah pergi rumah ke rumah untuk berjumpa dengan perwakilan dan akar umbi bagi menerangkan perlunya membuat perubahan dalam kepimpinan Wanita.

Katanya, mereka juga menerangkan tentang hala tuju dan masa depan Wanita Umno supaya mereka tidak terus bersikap statik dan berada di takuk lama.

"Kita memerlukan ketua yang ramah, prihatin, menawan hati dan menjaga kebajikan ahli (Wanita)," jelasnya.

Pemimpin itu juga menjelaskan bahagian-bahagian yang menyatakan sokongan terhadap Shahrizat adalah atas kehendak hati mereka yang ikhlas.

Beliau juga tidak menafikan adanya rungutan dan keluh kesah daripada perwakilan dan akar umbi berhubung tempoh kempen yang terlalu lama.

Menurutnya, Shahrizat juga mendapat sokongan kuat dari Sabah, Negeri Sembilan, Kedah, Penang, Johor dan Pahang.