Wanita Umno Kota Tinggi menggesa ahli-ahli pergerakan itu supaya sentiasa menjaga perpaduan walaupun akan berlaku pertandingan merebut jawatan ketua Wanita antara penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam pemilihan Umno Mac ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketuanya, Asiah Md Ariff tidak menafikan akan wujudnya kem-kem tertentu dalam pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan ahli-ahli Wanita supaya bersatu padu agar menjadi contoh kepada sayap parti itu yang lain.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama tidak mahu kewujudan kem-kem tersebut akan menggugat perpaduan Wanita yang menjadi tulang belakang kekuatan Umno dan Barisan Nasional.

Asiah yang memegang jawatan ketua Wanita bahagian itu selama empat penggal sejak 1998, menjelaskan bahawa bahagiannya tidak mempunyai banyak masalah besar kerana sentiasa mengamalkan konsep bantu membantu antara satu sama lain.

Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama selama tiga penggal, mengambil pendekatan sentiasa berhubung dengan kepimpinan Wanita bahagian yang dipimpin Datuk Halimah Sadique sekiranya terdapat sebarang masalah.

Bahagiannya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan Umno negeri.

Jadi contoh pada Puteri

Asiah juga turut menasihatkan Wanita bahagiannya agar sentiasa menjadi contoh kepada Puteri walaupun tanggungjawab untuk menarik golongan muda terletak kepada pergerakan tersebut.

"Wanita kena mainkan peranan yang tersendiri. Bermula dengan mengajak anak kita sendiri (untuk menyertai Umno) dan juga masyarakat kampung yang terdekat.

"Terangkan kepada mereka, mengapa pentingnya Umno mempertahankan kuasa," katanya sambil menjelaskan bahawa Wanita bahagiannya berusaha akan membuka lagi dua cawangan Umno di bahagian tersebut tahun ini.

Jawatankuasa pergerakan, tambah Asiah, diarahkan untuk memastikan setiap cawangan mewujudkan cawangan Wanita untuk persediaan menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Bahagian Kota Tinggi setakat ini mempunyai 36 cawangan.

Ditanya mengenai politik wang yang timbul setiap kali pemilihan pucuk pimpinan Umno, beliau berkata:

"Kena elak politik wang. Datuk Seri Abdullah dan Datuk Seri Najib sering mengingatkan, jangan amal politik wang.

"Saya juga selalu ajar kepada Wanita Umno bahagian saya tentang perkara ini (bahaya politik wang)," kata Asiah.