Penganjur: Tiada penyokong dibenar hadiri rancangan 'Hujah'
Penganjur rancangan 'Hujah' yang menemukan tiga calon ketua Pemuda Umno di pentas yang sama malam tadi menjelaskan kira-kira 300 orang yang menyaksikan rancangan itu yang disiarkan secara langsung dari Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) adalah pelajar dari empat universiti tempatan.
Mereka yang dijemput itu terdiri daripada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Menurut pihak penganjur ketiga-tiga calon ketua Pemuda itu - Khairy Jamaluddin, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo - tidak dibenarkan membawa penyokong masing-masing.
Menurut satu sumber pihak penganjur, mereka hanya dibenarkan beberapa beberapa orang pengiring sahaja ketika menghadiri rancangan tersebut malam.
Beliau diminta mengulas dakwaan penyokong salah seorang calon terbabit ramai di kalangan hadirin semalam terdiri daripada penyokong daripada dua calon ketua Pemuda terbabit.
Kerana itulah, kata penyokong tersebut, dua calon terbabit sering mendapat tepukan gemuruh hadirin yang didakwanya penyokong mereka sendiri.
Rancangan tersebut dipengerusikan oleh penyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Agus Yusof bertempat di Dewan Tun Syed Nasir, DBP dan disiarkan secara langsung oleh TV9.
Pelajar menaiki bas
Dalam forum tersebut, ketiga-tiga mereka ditanya mengenai Umno, pertandingan ketua Pemuda Umno, isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mengenai pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Menurut sumber tersebut lagi, semua pelajar tersebut hadir dengan menaiki beberapa buah bas yang membawa mereka ke DBP
Tambahnya, penganjur juga menyediakan beberapa orang pengawal untuk mengawal di pintu masuk utama ke dewan tersebut.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Dr Mohd Khir mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong, sumber berkata, beliau turut melihat pelajar turut bertepuk tangan kepadanya.
Ini kerana, katanya, cara dan penyampaian bekas menteri besar Selangor itu menyeronokkan dan menghiburkan penonton.
Sehubungan itu, kata sumber itu lagi, tidak timbul dakwaan kehadiran ramai penyokong dua daripada tiga calon tersebut memenuhi dewan itu.
Beliau juga menjelaskan Exco Pemuda, Mukhriz turut membawa beberapa orang pengiring.
Orang ramai dibenar masuk
Tinjauan Malaysiakini sebelum rancangan itu bermula , mendapati terdapat lebih 50 orang yang dipercayai penyokong dua daripada tiga calon tersebut, berkumpul di luar pintu masuk ke dewan tersebut.
Turut kelihatan kira-kira enam pengawal daripada TV3 dan DBP mengawal di pintu masuk tersebut.
Dr Mohd Khir dan beberapa pengiringnya yang tiba kira-kira jam 8.25 malam, memasuki dewan tersebut terlebih dahulu.
Sejurus selepas itu, pengawal membenarkan wartawan memasuki dewan dan kemudiannya membenarkan para pelajar berkenaan masuk ke dewan tersebut, pada kira-kira jam 8.30 malam.
Selepas itu, kelihatan pengawal membenarkan orang ramai yang berada di situ untuk memasuki dewan tersebut.
Khairy dan Mukhriz yang tiba serentak kira-kira jam 8.35 malam kelihatan memasuki dewan tersebut lima minit kemudian bersama-sama dengan pengiring masing-masing.

