MIC Merbok akur calon pilihan pucuk pimpinan BN
dikemaskini Kepimpinan MIC Merbok akur dengan pemilihan calon oleh pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau, walaupun dari Umno.
Pengerusinya, A Arumugam berkata, pihaknya berharap calon tersebut biarlah dari MIC seperti sejak empat penggal lalu.
"Pilihan pertama, sebaik-baiknya, adalah calon keturunan India tempatan, yang boleh berkhidmat untuk rakyat," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini
hari ini.
Arumugam diminta mengulas desakan Umno bahagian itu yang mahukan kerusi tersebut dipulangkan kepada Umno dalam pilihanraya kecil, 7 April ini.
Kerusi Bukit Selambau diwakili oleh MIC sejak empat penggal lalu walaupun pengundi kaum India di situ cuma 30 peratus, berbanding pengundi Melayu yang melebihi 50 peratus.
Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon BN dari MIC, S Krishnan kalah kepada calon bebas V Arumugam yang kemudiannya menyertai PKR.
Arumugam meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau awal bulan ini.
Menurutnya lagi, bahagiannya menyerahkan kepada kebijaksanaan Datuk Seri S Samy Vellu dan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan calon yang layak bertanding di kawasan tersebut.
Katanya, berdasarkan kepada permerhatian dan maklum balas yang diterima daripada kira-kira 9,700 masyarakat India di kawasan tersebut, rata-rata mereka mahukan perubahan.
"BN boleh menang. Ada perubahan (mood) daripada masyarakat India," katanya.
Arumugam mendakwa kerajaan Kedah bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak memberi pertolongan ke masyarakat India di situ.
"Tak ada pertolongan kepada orang India di sini, hanya janji kosong sahaja.
"Kalau macam tu lebih baik bagi balik (kerusi tersebut) kepada BN," katanya sambil menyatakan keyakinan BN mampu merampas kembali kerusi tersebut.
Pada 7 April juga turut menyaksikan pilihanraya kecil kerusi parlimen Bukit Gantang ekoran kematian penyandangnya Roslan Shaharum akibat serangan jantung pada 9 Februari lalu.

