Shila Amzah duta pelancongan Malaysia?
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan DAP supaya menjadikan penyanyi Shila Amzah sebagai "duta pelancongan" untuk menarik pelawat dari China.
Nazri berkata cadangan Anthony Loke (DAP-Seremban) amat baik dan boleh dilaksanakan memandangkan penyanyi itu mempunyai peminatnya di negara berkenaan.
Malah, kata Nazri, Shila mempunyai pengikut berjumlah 2.5 juta di media sosial dan boleh berbahasa Mandarin.
"Saya amat bersetuju dengan cadangan YB dan saya akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya.
"Saya akan berunding dengan Tourisme Malaysia dan ia cadangan yang baik dan boleh dilaksanakan," katanya menjawab soalan lisan Loke berhubung langkah kerajaan menarik lebih ramai pelancong negara China ke Malaysia.
Tempa nama tahun lalu
Loke antara lain menyebut cadangan untuk melantik Sheila boleh memulihkan imej Malaysia disebabkan beliau mempunyai peminatnya yang tersendiri dan cukup popular di negara itu.
Mengulas lanjut, Nazri berkata pihaknya optimis mengenai cadangan menjadikan penyanyi popular itu boleh dilaksanakan dengan mengambil manfaat jumlah peminat penyanyi yang mencecah lebih dua juta orang di media sosial.
"Sudah tentu boleh (dipertimbang cadangan itu)," kata Nazri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.
Dilaporkan Shila, anak perempuan penyanyi ND Lala, tahun lalu menempa nama selepas meraih tempat ketiga dalam pertandingan nyanyian I Am Singer di Beijing ketika kontroversi kemarahan rakyat negara itu berhubung insiden MH370 masih panas.
Pertandingan nyanyian itu disiarkan secara langsung menerusi HunanTV Channel.

