Ketua Angkatan Muda PKR memberikan keterangan hampir sejam kepada polis berhubung aduannya terhadap timbalan perdana menteri dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu seperti laporan akhbar.

Shamsul Iskandar Mohd Akin dipanggil hadir di balai polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya mulai jam 11.30 pagi berhubung aduan polisnya minggu lepas susulan laporan Liberation yang diterbitkan di Perancis.

shamsul iskandar probed macc 120309 Harian itu mendakwa Datuk Seri Najib Razak pernah bertemu wanita Mongolia itu di sebuah kelab persendirian di Paris pada 2005.

Najib beberapa kali nafi mengenali mangsa bunuh itu.

Dalam laporannya, Shamsul Iskandar meminta polis membuka semula siasatan terhadap Najib berhubung kematian wanita itu dan pembayaran komisyen dalam pembelian kapal selam sewaktu tokoh negara itu menteri pertahanan.

Dihubungi Malaysiakini selepas memberikan keterangan tadi, Shamsul Iskandar berkata Angkatan Muda parti itu bercadang membuat laporan polis terhadap Najib di semua lebih 100 bahagian.

Beliau juga berhasrat menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi menyerahkan memorandum untuk membolehkan siasatan terhadap bakal perdana menteri itu.

Beberapa pemimpin kanan Angkatan Muda dan 10 penyokong turut mengiringi Shamsul Iskandar ke balai polis itu tadi.