Cawangan, bahagian diminta cadang pindaan perlembagaan
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta cawangan dan bahagian Umno menggunakan mesyuarat perwakilan masing-masing untuk membahas dan mengemukakan cadangan bernas berhubung pindaan perlembagaan parti.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal bagi pindaan perlembagaan Umno berkata pihaknya sedang mengkaji pindaannya untuk membolehkan proses pemilihan parti dilakukan di peringkat bahagian atau cawangan.
Pada masa ini, pemilihan Umno dibuat oleh kira-kira 2,554 perwakilan Umno dari peringkat bahagian yang menghadiri perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur.
Hishammuddin berkata cadangan pindaan tersebut akan dibentangkan dalam perhimpunan agung khas Umno akhir tahun ini.
Katanya, saranan perdana menteri supaya pemilihan diadakan serentak, banyak bergantung kepada jumlah keahliaan dan soal logistik.
"Kalau 3.4 juta ahli di peringkat cawangan (hendak memilih) mungkin dari segi logistik, ia tidak realistik (untuk) kita mengadakan pemilihan secara serentak.
"Tetapi (jika) di peringkat bahagian, perwakilannya seramai 60,000 - yang jauh lebih besar daripada 2,554 perwakilan sekarang - mungkin lebih realistik.
"Ini yang sedang dipertimbangkan oleh jawatankuasa teknikal," katanya.
Hishammuddin juga berkata, jawatankuasa berkenaan yang sudah bermesyuarat beberapa kali dan sudah mendapat maklum serta berdasarkan hujah yang dibangkitkan dalam perhimpunan agung tersebut.
"Ada juga cadangan untuk menghapuskan kuota. Oleh itu, sesiapa yang layak, boleh menawarkan diri bertanding di semua peringkat .
"Ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menawarkan diri bertanding," katanya.

