Umno S'gor janji bantu Dr Chua
Umno Selangor akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada timbalan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang dilantik sebagai penyelaras BN dalam usaha gabungan tersebut untuk menguasai semula negeri yang dikuasai Pakatan termasuk Selangor.
Ketua Penerangannya, Abdul Syukur Idrus berkata, beliau akan memastikan Umno Selangor berkerja kuat untuk memastikan kemenangan kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang.
"Kita akan bekerja kuat untuk terus membela rakyat bagi menarik sokongan (kepada BN)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
"Orang parti (Umno) terus buat kerja. Jangan kerana orang parti lain dilantik, kita tak buat kerja. Dalam usaha nak berkuasa, tak semestinya letak tugas kepada kepada Datuk Seri Chua semata-mata.
"Ahli parti harus lipat gandakan untuk memperolehi kuasa," kata Abdul Syukur yang juga ADUN Kuang.
Abdul Syukur diminta mengulas berhubung perlantikan Chua sebagai penyelaras BN yang didakwa dilihat lebih berkuasa daripada presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Katanya, perkara tersebut "tidak timbul" kerana jawatan tersebut telah dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN, pertengahan bulan lalu.
"Beliau diberi tugas tersebut kerana tidak menjawat sebarang jawatan dalam kabinet. Jadi tidak timbul melebihi jawatan sesiapa.
Bertambah akrab
"Kecualilah kepada golongan yang ingin memecahbelahkan MCA," kata Abdul Syukur yang juga ketua bahagian Selayang.
Menurutnya, tugas Chua adalah melaporkan aktiviti dan penyelaras kerja parti-parti komponen dalam usaha untuk merampas negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
Ditanya desas-desus bahawa kedua-dua pihak mempunyai perselisihan faham, Abdul Syukur berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya.
"Sekiranya ada, minta tolong hentikan dan mereka harus membuktikan tohmahan daripada luar itu tidak benar kepada mereka.
"Tunjukkan kepada rakyat serta bersatu hati dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan kepentingan peribadi," tambahnya.
Mengenai hubungan Umno dengan MCAd, Abdul Syukur berkata, tidak pernah ada perasaan curiga mencurigai, malah bertambah akrab dari masa ke semasa.
"Semua komponen harus menggandakan usaha supaya kehadiran BN dapat dirasai oleh rakyat, (iaitu) untuk membela rakyat dan mereka yang memerlukannya," katanya.
Malah, katanya, beliau sendiri sebagai wakil rakyat, bertanggungjawab untuk membantu rakyat di kawasannya tanpa mengira kaum dan ideologi politik yang mereka anuti.
"Kita tak ada masa. Jangan tunjuk jaguh dalam parti. Kita mesti tunjuk jaguh kepada lawan kita," katanya sambil menambah pilihanraya ke-13 dijangka diadakan kira-kira tiga tahun lagi.

