Umno bahagian Tanah Merah menjelaskan pihaknya telah menghantar notis bertulis kepada kira-kira 110 cawangan di bahagian Tanah Merah untuk mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian pada 15 Ogos ini.

Menurut setiausaha bahagian, Ahmad Ismail, notis pemberitahuan yang bertarikh 31 Julai itu dihantar kepada cawangan yang mempunyai perwakilan yang sah sahaja.

"Kita hantar dua surat - yang pertama kita hanya hantar notis kepada cawangan yang mempunyai perwakilan yang sah sahaja. Cawangan yang tidak sah, kita tidak hantar.

"Surat kedua, bertarikh 3 Ogos, kita membuat jemputan umum kepada ahli-ahli untuk ke majlis perasmian mesyuarat bahagian," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahmad diminta mengulas dakwaan ketua cawangan Umno Simpang Tiga Seri Mahligai, Amran Abdul Rahman yang mendakwa pihak bahagian dan tiga sayap pergerakan - Wanita, Pemuda dan Puteri - gagal menghantar notis untuk mengadakan mesyuarat bahagian.

Amran berkata peraturan dan perlembagaan parti telah menetapkan bahagian harus memaklumkan kepada perwakilan dalam 14 hari sebelum tarikh persidangan bermula.

Sehubungan Amran telah membuat lapora n polis pada 8 Ogos lalu. Dalam aduannya, Amran berkata, peraturan parti menetapkan bahawa notis untuk mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian mesti dihantar sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh ia diadakan.

Oleh itu, dakwanya, bahagian berkenaan sudah tidak layak bermesyuarat kerana tarikh akhir bagi semua bahagian berbuat demikian adalah 16 Ogos ini - iaitu sembilan hari sahaja dari tarikh dua membuat aduan polis tersebut..

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihaknya tidak menghantar notis mesyuarat kepada cawangan yang mempunyai perwakilan yang tidak sah kerana "tidak mahu menimbulkan masalah pada mesyuarat bahagian tersebut".

Menurut Ahmad lagi, cawangan yang diwakili Amran mempunyai bermasalah kerana tidak mengadakan mesyuarat pada tahun pemilihan, tahun lepas.

"Mana-mana bahagian dan cawangan yang gagal mengadakan mesyuarat perwakilan atau persidangan pada tahun permilihan, maka jawatankuasanya adalah bubar.

"Ini bermakna, Majlis Tertinggi dan ahli jawatankuasa bahagian berkuasa untuk mengadakan mesyuarat khas bagi bahagian dan cawangan yang terlibat," katanya yang merujuk kepada peraturan persidangan cawangan dan bahagian.

Bagaimanapun, kata Ahmad, pihaknya berusaha untuk mengambil berat bagi memastikan sedaya upaya cawangan yang tidak aktif, dapat bergerak semula.

Tambahnya, terdapat beberapa lagi cawangan yang bermasalah di bahagian tersebut.

"Jadi tidak berbangkit masalah notis. Yang dapat sahkan mesyuarat bahagian hanyalah ibu pejabat," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi beberapa cawangan di bahagian Tanah Merah untuk mengetahui sama ada mereka telah menerima surat-surat tersebut.

Ketua Umno cawangan Jelakong, Mokhtar Ibrahim berkata pihaknya menerima kedua-dua surat tersebut dan mengesahkan cawangannya adalah sah mengikut perlembagaan parti.

Bagaimanapun, dua lagi cawangan - Taman Kenanga dalam DUN Bukit Panau dan Air Machang dalam DUN Kemahang - belum menerimanya.

Perkara itu disahkan oleh ketua masing-masing - Aziz Che Mat (Taman Kenanga) dan Mohd Nordin Abdul Rahman (Air Machang) yang mengatakan bahawa kedua-duanya adalah cawangan yang sah.

Menurut Aziz, beliau mengetahui mesyuarat bahagian itu melalui SMS yang dikirimkan oleh seorang pemimpin Umno di DUN Bukit Panau.