Malaysiakini BERITA

Insiden kekerasan: Tiga ditahan polis

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Polis mengesahkan telah menangkap tiga orang suspek dalam insiden-insiden yang berlaku di kawasan pusat pengundian pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh mengesahkan polis menerima 13 laporan daripada insiden-insiden yang berlaku hari ini.

Daripada jumlah itu, tujuh telah dibuka siasatan. Seorang daripada suspek berkenaan akan dakwa bawah seksyen 324 keseksaan kerana didakwa mendatangkan kecederaan, membabitkan satu kes di Teluk Kemang hari ini.

Dua lagi suspek, yang diberkas di kawasan Sekolah Panglima Adnan, akan didakwa bawah seksyen 160 kanun keseksaan atas kesalahan bergaduh berkumpulan.

Sebelum itu, beberapa insiden kekasaran antara penyokong parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang dilaporkan berlaku pagi ini.

NONE Satu daripadanya berlaku di SK Teluk Kemang pada jam 11.20 pagi tadi, manakala satu lagi insiden berlaku di pusat pengundian SK Panglima Adnan.

Insiden di SK Teluk Kemang membabitkan perbuatan membaling batu dan botol air mineral.

Bagaimanapun, anggota polis berjaya mengawal dan meredakan keadaan antara penyokong BN dan PAS.

Ketua Puteri Umno bahagian Teluk Kemang, Mimi Fadzury Md Tahir berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.20 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, tiada yang cedera dalam insiden tersebut dan ia dapat diredakand oleh anggota polis yang berada di situ.

NONE Mimi Fadzury bagaimanapun tidak pasti pihak manakah yang membaling batu dan botol minuman mineral itu.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai insiden itu ketika dalam perjalanan ke sekolah tersebut.

Bagaimanapun, setibanya di situ, keadaan sudah terkawal walaupun masih berlaku laungan mengejek satu sama lain antara penyokong parti-parti yang bertanding.

Menurutnya, Pemuda Umno kini berada di barisan hadapan untuk mengawal keadaan di situ.

Sementara kira-kira jam 10.10 pagi tadi, keadaan di pusat pengundian di SK Panglima Adnan riuh rendah dengan penyokong BN dan PAS melaung mengejek antara satu sama lain.

Kira-kira 5,000 orang berhimpun di situ. Penyokong sebuah parti kelihatan membaling botol air mineral melintasi jalan ke arah tempat penyokong PAS berhimpun.