Mafrel setuju pantau e-undi di Universiti Malaya
Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel) bersetuju untuk memantau pelaksanaan sistem pengundian secara elektronik (e-undi) sewaktu pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) pada 28 Januari ini atas permintaan Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH).
Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh berkata persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan dengan pengerusi BANTAH Mohd Aizat Mohd Salleh kelmarin.
"Kita akan menyediakan kertas cadangan mengenainya untuk dimajukan kepada Naib Canselor Universiti Malaya (Prof Dr Ghauth Jasmon) .
"Kita mahu dilihat sebagai juruperunding, kerana kita tidak ada pengalaman dalam pilihan raya kampus," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Syed Ibrahim berkata, pihaknya bercadang untuk memantau dari sudut ketelusan sistem pengundian secara elektronik itu agar diterima oleh mahasiswa.
Menurutnya, pemantauan itu, antaran lain bagi memastikan 'servernya' yang tidak mudah digodam dan keupayaan hubungan server dan terminalnya
Syed Ibrahim berkata beliau akan menyerahkan kertas cadangan tersebut kepada Dr Ghauth dalam pertemuan yang dijangka dalam minggu ini.
Katanya, beliau telah dimaklumkan bahawa pihak universiti bersedia untuk bertemu dengan Mafrel berhubung perkara itu.
Beliau juga menjelaskan bahawa Mafrel hanya akan memantau pelaksanaan sistem e-undi pada hari pengundian sahaja.
Mengenai tenaga kerja yang diperlukan, Syed Ibrahim menjangka ia tidak ramai kerana secara teknikalnya mereka akan berkumpul dalam satu pusat sahaja.
Penamaan calon dalam pilihan raya kampus UM akan berlangsung pada 25 Januari manakala hari pengundian tiga hari kemudian.

