Bekas Setiausaha Umno Tanah Merah Amran Abdul Rahman berkata beliau tidak melanggar perlembagaan parti itu apabila memfailkan saman pemula terhadap ketua bahagian berkenaan, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dan timbalannya, Baharuddin Yusof.

"Saya ambil tindakan terhadap dua individu berkenaan mengikut Akta Pertubuhan, sudah tidak boleh pegang jawatan dalam parti. (Tindakan saya) bukan terhadap parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Oleh itu, katanya, tidak terlintas langsung di fikirannya bahawa Umno akan mengambil tinakan memecatnya kerana perkara itu.

Pada 17 Februari lepas, Amran mengemukakan saman pemula teradap Ikmal dan Baharuddin di Mahkamah Tinggi Kota Bharu kerana menganggap kemenangan kedua-dua pemimpin bahagian itu meragukan.

Pada pemilihan 2008, Ikmal menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Umno bahagian Tanah Merah setelah mendapati 92 dari 108 cawangan yang berdaftar di bahagian itu mencalonkannya, manakala Baharuddin mengalahkan penyandang Datuk Saari Hassan dalam pertandingan satu lawan satu.

Amran memfailkan saman tersebut ekoran arahan pembubaran sementara oleh Pendaftar Pertubuhan terhadap beberapa cawangan di Tanah Merah, termasuk cawangan Ikmal dan Baharuddin, pada 2007 ketika pemilihan parti di peringkat bahagian pada 2008.

Sehubungan itu, kata Amran, beliau tidak melanggar fasal 20.7 Perlembagaan Umno yang menyebut bahawa ahli yang membawa kes parti ke mahkamah tanpa sebarang satu proses dalam parti terlebih dahulu, tergugur keahliannya.

Amran diminta mengulas tindakan ibu pejabat Umno menggugurkan keahliannya kerana membawa perkara parti ke mahkamah.

Pada 16 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu juga mengeluarkan perintah larangan terhadap Ikmal dan Baharuddin daripada menjalankan sebarang transaksi aset yang berupa tanah dan bangunan serta akaun bahagian berkenaan.

Perintah mahkamah itu melarang Ikmal dan Baharuddin atau wakil mereka, daripada melakukan apa-apa perkara atau tindakan sehingga terdapat arahan lanjut daripada Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Amran dilaporkan berkata injuksi itu diperolehinya setelah mendapat salinan dokumen arahan pembubaran sementara beberapa cawangan di Tanah Mereka oleh ROS pada 2007 ketika pemilihan parti di peringkat bahagian pada 2008.