PERKASA: Noh tidak perlu mohon maaf

       

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Noh Omar memohon maaf berhubung ucapannya di konvensyen BN Selangor kelmarin.

Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah ( bawah ) berkata ucapan Noh - yang memetik mendiang Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan - bersandarkan "satu fakta sejarah".

NONE Sebaliknya beliau mendakwa ucapan Noh yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor telah "disalahtafsirkan" oleh media berbahasa Cina.

"Petikan ucapan itu merupakan fakta sejarah kerana ia termaktub dalam sejarah Malaysia. Adakah cakap fakta sejarah adalah salah?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Ditanya tindakan pihaknya selepas ini berhubung permohonan maaf Noh itu, Arman berkata pihaknya tidak merancang untuk berbuat apa-apa tindakan.

"Bagi saya jika berlandaskan gagasan 1Malaysia, seharusnya pihak-pihak  media yang salah petik ucapan Datuk Noh Omar seharusnya memahami, di mana beliau berceritakan (tentang)sejarah silam.

"Datuk Noh meminta maaf atas dasar menghormati prinsip BN terhadap semua lapisan masyarakat, seharusnya mereka menilai dengan matang ucapan Datuk Noh," katanya.

NONE Kelmarin, Noh ( kiri ) yang juga ahli parlimen Tanjung Karang dilaporkan memohon maaf berhubung ucapannya di konvensyen BN Selangor sekiranya ia menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Katanya, beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana kaum, sebaliknya mahu mengukuhkan lagi semangat kerjasama dan setiakawan di kalangan ahli dan pemimpin parti-parti komponen BN.

Malaysiakini
terkini untuk anda