Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tukar calon 'strategi bijak', kata Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan strategi Umno menukar calon baru walaupun dari MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor sebagai satu "strategi yang bijak".

NONE "Calon baru, walaupun dari MIC, memberi gambaran protes ‘didengari dan diambil kira’. Bukan semuanya, tetapi sebahagian kecil darinya.

"Kerusi tidak diserah kepada Umno tetapi tidak juga kembali kepada pemimpin MIC yang sama. Orang baru yang lebih muda dan kononnya lebih mampu membawa perubahan.

"Dalam masa yang sama, ‘hak’ MIC sebagai rakan BN dipertahankan. Undi Melayu dipujuk dengan pertukaran calon, undi masyarakat India dan Cina pula dengan mempertahankan hak parti rakan parti komponen BN," coret Khalid dalam blognya.

Sehubungan itu, kata Khalid, melalui kemenangan ini juga, rayuan dan desakan Umno untuk kerusi parlimen itu diserahkan kepada Umno boleh dianggap "menemui ajalnya".

NONE Khalid mengulas kekalahan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad lalu di mana calon BN P Kamalanathan menang dengan menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Kamalanathan yang juga ketua penerangan Pemuda MIC mendapat 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.

Khalid yang juga anggota biro politik PAS berkata strategi Pakatan Rakyat (PR) meletakkan Zaid sebagai calon "tiada salahnya".

"Pencalonan beliau menyebabkan majoriti BN hanya 1,725 dan bukan 6,000 seperti yang sepatutnya.

NONE "Tanpa undi rosak dan undi protes, kecuali sedikit, Datuk Zaid dapat menarik sebahagian dari pengundi yang mengundi BN dulu untuk mengundi PR kali ini. Di beberapa saluran memang tercatit penambahan, bukan pengurangan," katanya.

Khalid juga menegaskan hasil dari keputusan pilihan raya Ahad lalu sepatutnya menyedarkan Pakatan daripada 'dibuai mimpi' bahawa masih banyak lagi penerangan yang perlu dilakukan.

"Masih ramai lagi, lebih-lebih lagi yang di kawasan pendalaman, yang tidak memahami hasrat perjuangan Pakatan dan kekejaman BN.

"Jentera penerangan negeri mestilah dipertingkatkan dan jentera parti mesti turun padang lebih kerap lagi. Kekurangan ini perlu diatasi sebelum tibanya pilihan raya umum ke-13," katanya.

Menurutnya, kekalahan yang diterima oleh Pakatan ada hikmahnya iaitu Pakatan tidak merasa leka dan tidak berpeluk tubuh serta berpuas hati dengan apa yang ada.

"Banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan dan banyak lagi kelemahan dalaman dan organisasi yang perlu di atasi bersama," katanya.

ADS