PSM minta Perkeso tingkat perlindungan pekerja
Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengandungi tuntutan termasuk meminta Perkeso bertindak tegas terhadap majikan yang gagal mencarum dan menimbang menaikkan pencen minimum kepada RM500.
Sebelum itu, kira-kira 30 ahli PSM dan aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) berhimpun di depan bangunan ibupejabat Perkeso di Jalan Ampang pada jam 10.30 pagi serta menaikkan dua kain rentang meminta undang-undang Perkeso dipinda dan perlindungan pekerja ditingkatkan.
Kira-kira 10 minit kemudiannya mereka naik ke tingkat 19 bangunan tersebut dengan diketuai oleh pengerusi PSM, Dr Mohd Nasir Hashim, serta diiringi lima anggota polis. Turut hadir ialah setiausaha agung PSM, S Arutchelvan
Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara kemudiannya menyerahkan memorandum tersebut kepada ketua eksekutif Perkeso, K Selvarajah.
Memorandum yang sama juga turut diserahkan ke semua pejabat Perkeso di Perak, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pahang.
Memorandum tersebut antara lain, menggesa Perkeso supaya meningkatkan penguatkuasaan, termasuk menangkap majikan yang gagal mencarum.
Ia juga menggesa Perkeso memberi pelindungan 24 jam. Pada masa ini pekerja dilindungi sewaktu bekerja dan ketika dalam perjalanan pulang.
Dalam memorandum itu juga, PSM menggesa supaya pencen ilat dinaikkan daripada 60 peratus kepada 75 peratus daripada purata gaji anggaran.
Sementara itu, dalam pertemuan kira sejam dengan rombongan tersebut, Selavarajah berkata, pihaknya akan mengadakan operasi penguatkuasa khas pada 1 Jun ini bagi mengesdan majikan yang tidak mencarum.
Tegasnya, Perkeso juga bersikap terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam usaha membela nasib dan keselamatan pekerja.
Bagaimanapun, katanya, cadangan yang menyentuh tentang polisi yang terkandung dalam memorandum itu akan dimajukan ke peringkat yang lebih tinggi.
Sementara itu, bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Nasir menasihatkan agar Perkeso agar lebih bersikap mesra pekerja dan tidak hanya kepada majikan sahaja.
Beliau juga menggesa agar kerenah birokrasi dikurangkan terutama oleh doktor panel yang dikunjungi oleh pekerja bagi mendapatkan rawatan selepas ditimpa kemalangan di tempat kerja.
Sebaliknya, kata Dr Nasir, mereka perlu membantu pekerja berhubung masalah yang dihadapi mereka.

