Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) akan mengerakkan kesemua 3,500 ahlinya berpiket bulan depan bagi membantah tindakan majikannya yang mahu menubuhkan anak syarikat baru bagi menguruskan perkhidmatan keretapi elektriknya.

NONE Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan ( kiri ) berkata pihaknya menentang tindakan menganaksyarikatkan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) itu antaranya kerana ia "menghakis faedah-faedah pekerja" seperti termaktub dalam perjanjian bersama (CA).

 "Bukan niat kami hendak susahkan mana-mana pihak tetapi kalau ada orang yang degil kita kena ajar," katanya yang mendakwa pandangan mereka tidak diambil peduli sebelum ini.

Katanya, dengan mewujudkan anak syarikat baru CA antara pekerja dan majikannya dengan sendirinya akan terbatal.

"Sebagai contoh, faedah kesihatan, seorang pekerja masuk hospital (sekarang ini), berapa pun (kosnya) akan ditanggung oleh majikan," katanya.

Abdul Razak juga berkata pihaknya menentang tindakan tersebut menyebabkan "hasil pendapatan KTMB telah mengalir kepada anak syarikat" semata-mata.

NONE Tambahnya, dengan tertubuhnya anak syarikat baru akan menyebabkan imej KTMB akan ditenggelamkan oleh anak syarikat terbabit, sedangkan semua kemudahan yang bakal digunakannya milik penuh KTMB.

"Lembu punya susu sapi dapat nama," katanya.

Dalam sidang media di ibu pejabat kesatuan itu di Brickfileds pagi ini, Abdul Razak berkata pihaknya pernah membangkitkan perasan tidak puas hati mereka kepada pengurusan tertinggi KTMB sejak November tahu lalu.

Bagaimanapun, Abdul Razak mendakwa tiada usaha yang dilakukan oleh majikannya bagi mencari jalan penyelesaian.

Abdul Razak bagaimanapun menjelaskan tarikh piket mereka bergantung kepada hari pelancaran ETS dan anak syarikat yang baru dibentuk - ET Sdn Bhd - yang belum diumumkan.

"Bukan kami yang tentukan (tarikh dan masanya) tetapi (seolah-olah) pihak pengurusan (KTMB) yang tetapkan," katanya.

Abdul Razak menyifatkan tarikh tersebut sebagai "tarikh keramat yang boleh memberi gimik yang besar".

ADS