Bantah: Judi sukan, serah tanah KTM dan blok minyak
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) malam tadi memutuskan mendesak kerajaan Pusat mendedahkan secara terperinci butiran perjanjian (POA) antara kerajaan Malaysia dan Singapura berhubung pemberian tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjung Pagar kepada republik itu.
Setiausahanya Kamaruzzaman Mohamad berkata pewakilan Pemuda juga bersestuju mendesaka agar butiran perjanjian pemberian Blok L dan M kepada Brunei didedahkan kepada rakyat.
Di samping itu, katanya, perwakilan turut memutuskan agar mendesak kerajaan agar menghapuskan lesen judi sukan serta menarik balik pemberian lesen judi.
Menurutnya, usul tersebut merupakan antara empat usul Pemuda yang diluluskan sebulat suara oleh lebih 600 pewakilan dalam muktamarnya yang berlangsung sehingga lewat malam tadi di Kelantan Trade Centre (KTC).
Berhubung isu judi juga, Dewan Ulama PAS (DUP) turut mendesak menteri yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi supaya meletak jawatan.
Dewan Ulama - yang turut bersidang semalam - juga mendesak kerajaan persekutuan yang dikuasai BN supaya menutup semua pusat perjudian dalam negara ini.
Dilaporkan, usul berkenaan diterima sebulat suara oleh perwakilan yang hadir.
Kamaruzaman berkata muktamar itu juga mengutuk kekejaman Yahudi dan Israel serta mendesak kerajaan Malaysia menamatkan segera perjanjian dengan syarikat yang dikaitkan dengan Yahudi.
"Kita tidak mahu kerajaan bersikap hipokrit, di hadapan mengutuk Israel tetapi pada masa yang sama mewujudkan (hubungan) perdagangan dengan Israel," katanya.
Manakala Dewan Muslimat pula meluluskan dengan pindaan usul yang mencadangkan "naib presiden muslimat" dan "timbalan pesuruhjaya muslimat" di peringkat negeri.
Pindaan tersebut mencadangkan agar muslimat di peringkat kawasan mencalonkan 30 peratus wanita menduduki jawatan - bermula naib presiden hingga ke bawah di setiap peringkat negeri dan kawasan.
"Maksudnya selepas ini jika ada pemilihan, muslimat di peringkat kawasan sendiri akan mencalonkan muslimat untuk jawatan naib presiden.
"Bagaimanana hendak dipilih, kalau tak ada mencalonkan sendiri calon muslimat? " kata ahli jawatankuasa Muslimat PAS Aiman Athirah.
Katanya, pindaan tersebut diluluskan sebulat suara oleh lebih 600 perwakilan Muslimat yang bersidang semalam.
Dewan Muslimat juga turut meluluskan usul supaya mata pelajaran Pendidikan Islam diwajibkan lulus oleh pelajar sekolah rendah dan menengah.
Sementara itu dalam satu kenyataan, Muslimat PAS sebulat suara meluluskan ketetapan berikut:
- Menyokong penuh dan berdiri teguh bersama para wanita Palestin dalam memperjuangkan hak dan keadilan untuk mereka yang telah dicerobohi oleh Zionis Israel dengan bersiap siaga untuk membantu mereka dari semua aspek termasuklah menghantar sukarelawan Muslimat PAS ke bumi Gaza ;
- Memastikan Dewan Muslimat PAS di semua peringkat proaktif dan terlibat secara menyeluruh, tersusun dan berperancangan dalam semua tindakan berkaitan dengan isu Palestin ;
- Menyokong penuh tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat pendedahan berkaitan APCO dan seterusnya kewujudan ”pengaruh Israel” dalam pentadbiran Malaysia termasuklah institusi-institusi keselamatan negara ;
- Menetapkan agar PAS dan Pakatan Rakyat menjuarai usaha penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza bersama negara-negara lain dengan menyasarkan seribu armada misi bantuan kemanusiaan berlepas ke Gaza pada satu-satu masa ;
- Menyokong penuh semua usul yang menyokong Palestin dan mendesak perdana menteri Malaysia agar konsistan dalam semua tindakan pada setiap masa di dalam mahupun di luar negara bagi melaksanakan semua usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Jun 2010 berkaitan isu keganasan Israel;
- Menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang lebih waspada dalam menyekat segala rancangan regim Zionis dalam apa jua bentuk yang sedang berusaha melebarkan pengaruh, anasir dan penguasaannya di dalam Malaysia melalui pelbagai proksi dan cara. Mendesak agar Malaysia menghentikan sebarang kerjasama perdagangan dengan Israel dan boikot segala produk bersangkutan dengannya ;
- Mendesak kerajaan Malaysia segera menghentikan khidmat syarikat perunding antarabangsa iaitu APCO Worldwide yang juga merupakan proksi kepada kepentingan politik Israel dan Amerika.

