BERITA

Mahkamah: Pernikahan Bung Moktar-Zizie sah

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jun 2010, 9:48 pagi

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari memutuskan bahawa pernikahan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dengan pasangannya pelakon Zizie Izette adalah sah.

Mahkamah juga mengarahkan supaya pernikahan mereka didaftarkan dengan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Kuala Lumpur, kata peguamnya Zuklifli Che Yong.

Pengesahan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), oleh Hakim Kanan Syarie Mohd Abdul Radzi Abd Latif selepas mendengar penerangan pihak pemohon dan saksi-saksi.

Mahkamah dijadualkan membuat keputusan mengenai status pernikahan pasangan itu semalam, tetapi ianya ditangguh ke hari ini.

Pasangan itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengesahan dan pendaftaran pernikahan pada 4 Jun lalu.

Dalam permohonan itu, pasangan berkenaan juga memohon pernikahan tersebut diterima dan didaftarkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan selari dengan Seksyen 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

NONE Zizie dan Bung bernikah pada 16 Disember tahun lalu di sebuah bumah banglo di Hulu Klang, Selangor Disember tahun lalu dengan mas kawin RM80 tunai dan hantar RM31,000.

Manakala pada 19 Mei lalu, Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan ke atas ahli parlimen Kinabatangan itu kerana kesalahan poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Bung Moktar juga didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut hari ini.

Isteri keduanya, Zizie Ezette Abd Samad pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan.

Pelakon terkenal itu bersalah atas tuduhan bersubahat bagi kesalahan poligami tersebut dan juga kesalahan pernikahan tanpa kebenaran mahkamah.

Sementara itu, Bernama melaporkan prosiding hari ini berjalan secara tertutup selama kira-kira 15 minit, selepas hakim memerintahkan wakil media keluar ekoran permohonan peguam pasangan itu, kes itu dibicarakan secara tertutup.

Sementara itu, Bung Moktar yang meninggalkan mahkamah pada pukul 3.30 petang bersama Zizie Izette, ketika ditemui pemberita hanya berkata "Alhamdulillah".

Manakala Zizie Izette yang sering melemparkan senyuman kepada para pemberita pula berkata: "Kami selalu menjangkakan yang terbaik".

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.