Perlawanan antara pasukan Jerman dan Sepanyol yang dijadualkan awal pagi esok diibaratkan pertemuan "buku dengan ruas".

Bagi Jerman, perlawanan pagi esok adalah untuk membalas dendam dan memulang "paku buah keras" di atas kekalahan mereka kepada Sepanyol pada Euro 2008 di Vienna.

Mereka tewas 1-0 hasil jaringan Fernando Torres.

Manakala bagi Sepanyol, perlawanan itu adalah perlawanan untuk melebarkan jurang kemenangan mereka ke atas Jerman seterusnya merebut piala dunia yang belum pernah mereka kecapi.

Dalam sejarah lima kali  pertemuan kedua-dua pasukan sejak 1994, Sepanyol memenangi dua perlawanan, dua kali seri dan tewas sekali kepada skuad bimbingan Joachim Loew.

Joachim  kemungkinan menghadapi kesukaran apabila dua tonggak midfilder - Sami Khedira dan Thomas  Muller - tidak dapat bermain kerana masing-masing mengalami kecederaan dan digantung satu perlawanan.

Bagaimanapun, beliau mempunyai barisan pemain simpanan yang mantap untuk menggantikan kedua-dua pemain itu untuk merobek gawang skuad 'La Roja' pimpinan bekas pengurus Real Madrid Vicente del Bosque.

Bagi del Bosque, beliau juga mempunyai pemain yang hebat, dan tidak diganggu dengan masalah kecederaan kecuali Torres yang dikatakan tidak begitu cergas.

Namun pemain lain seperti David Villa, Xabi Hernandez, Andrea Iniesta dan Cesc Fabregas mampu memikul tanggungjawab memburu gol.

Menurut kebanyakan peminat sukan yang ditemui Malaysiakini, kedua-dua pasukan mempunyai peluang 50-50 untuk menang dalam perlawanan ini.

"Jerman mempunyai barisan mantap, dan Joachim yang mendedahkan taktiknya sewaktu dalam satu sidang media, cukup yakin beliau akan memenangi  perlawanan ini.

"Ini kerana terbukti, taktik dan strategi yang digunakan cukup berkesan sehingga menjaringkan gol dgn jumlah yang besar sewaktu bertemu England dan Argentina," kata seorang pengamat sukan yang enggan namanya disebut.

Kemungkinan formasi 4-5-1 akan dikekalkan ketika Jerman bertemu dengan Sepanyol awal pagi nanti.

Bagi Sepanyol, kata pengamat itu lagi, mereka mempunyai pemain yang dapat bergerak pantas, membuat hantaran pendek dan 'one touch', 'set pieces' yang dirancang, sudah tentu memberi kelebihan kepada mereka.

Mereka akan bermain formasi 4-4-2 bagi menghadapi serangan 'tentera Nazi Jerman' malam ini.

"Tidak kurang juga Jerman menggunakan taktik yang sama, serta fizikal mereka yang besar, memberi satu kelebihan.

"Counter-attack, mereka cukup pantas. Ia diketuai oleh Bastian Schweinteiger yang pastinya akan melorongkan bola kepada Mesut Ozil, Lukas Padolski dan Miroslav Klose," katanya.

"Perlawanan yang menarik awal pagi nanti. Tak percaya, tengoklah nanti,"katanya sambil menghirup kopi pekat di Restoran Chawan di Bangsar.