Kesatuan kakitangan Perkeso batal piket
Kesatuan Kakitangan Perkeso membatalkan rancangannya untuk berpiket selepas isu-isu berhubung perjanjian bersama dengan pihak majikan telah berjaya diselesaikan.
Penyelesaian itu dicapai dalam pertemuan wakil kesatuan tersebut dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramanim pada 29 Jun lalu.
Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, setiausaha kesatuan Rashidi Ismail mengesahkan perkara tersebut.
Sehubungan itu, katanya, tiada lagi piket kerana tuntutan mereka sudah selesai.
Kesatuan tersebut pada mulanya merancang untuk mengadakan piket pada 28 Jun lalu.
Ia kerana Perkeso didakwa gagal melaksanakan persetujuan yang dicapai dalam rundingan antara kesatuan dan pihak pengurusan yang diwakili pengerusi lembaga dan ketua eksekutif pada 20 Mei lalu.
Piket itu dirancang diadakan di hadapan Menara Perkeso di Jalan Ampang selama 50 minit bermula jam 1.05 tengahari.
Bagaimanapun, kesatuan itu menangguhkan piketnya pada 28 Jun lalu selepas kesediaan Subramaniam untuk menemui wakil mereka berhubung isu tuntutan tersebut.
Rashidi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran tuntutan mereka sewaktu perbincangan itu.
"Kami berjanji kepada menteri supaya tidak cakap kepada sesiapa (mengenai tuntutan itu). Kami hormati perkara (janji) itu," katanya.

