Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan ahli parlimen dan peguam yang mewakili N Tharmendran, menyerahkan nota tuntutan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  pagi ini supaya menjamin keselamatan bekas sarjan TUDM itu.

NONE

Nota tuntutan itu dierahkan melalui Penasihat Ketenteraan kepada menteri berkenaan, Brig-Jen Md Dzhahir Abdul Rashid di Kementerian Pertahanan jam 11 pagi.

Nota tersebut menuntut menteri pertahanan mengeluarkan jaminan bertulis terhadap keselamatan Tharmendran daripada ditahan atau campurtangan tentera udara atau agennya.

Selain itu, mereka juga menuntut agar Ahmad Zahid mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap cubaan "tidak mengikut undang-undang" menahan Tharmendren.

Mereka juga menuntut menteri berkenaan mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa terlibat "menyeksa" Tharmendran supaya menarik balik pengakuannya.

NONE Mereka yang menyerahkan nota tuntutan tersebut terdiri daripada tiga ahli parlimen - M Manoharan, S Manikavasagam dan Zuraidah Kamaruddin, - serta dua peguam Tharmendran - N Surendran dan Latheefa Koya.

Hadir bersama ialah bapa Tharmendran - N Nagarajah. Selepas menyerahkan nota tuntutan itu, mereka beredar dari kementerian itu kira-kira jam 11.20 pagi.

Isnin lalu, Tharmendran membatalkan ikatjamin terhadap dirinya selepas Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah perlindungan.

Beliau memilih untuk kembali ke penjara Sungai Buloh kerana bimbang rakan-rakannya dari TUDM akan menahannya.

Tharmendran berdepan dengan tuduhan mencuri dan bersubahat mencuri dua enjin jet daripada Pangkalan Tentera Udara Subang pada Disember 2007.

NONE Sebelum itu, kumpulan tersebut  tiba di pintu masuk kementerian itu pada jam 10.45 pagi.

Petugas di situ menutup pintu pagar dan tidak membenarkan mereka masuk untuk menyerahkan notis tuntutan tersebut.

Selepas berbincang, seorang pegawa tentera, Mejar Sharif Jamal Abidin meminta mereka jangan menunggu di hadapan pintu tersebut kerana ia  adalah "kawasan larangan".

Bagaimanapun, kumpulan itu mempertikaikannya sedangkan mereka telah membuat temujanji dengan pihak kementerian.

Sehubungan itu, Sharif meminta agar mereka berurusan dengan pegawai perhubungan kementerian, Raveedran Nair.

Pada jam 10.55 pagi, Raveedran bertemu dengan kumpulan tersebut yang meminta beliau memanggil menteri atau timbalan menteri untuk menerima nota  tuntutan mereka dan membenarkan mereka masuk.

Raveedran memberitahu bahawa menteri tidak berada di pejabatnya kerana ada urusan lain dan meminta tempoh 10 minit untuk memanggil pegawai kanan lain bagi menerimanya.

NONE Kira-kira selama 15 minit kemudian, Md Dzhahir tiba dan membenarkan mereka masuk bagi menyerahkan notis bantahan itu.

Selepas itu, Manickavasagam memberitahu pemberita bahawa usaha mereka tidak akan berakhir di situ.

Sebaliknya, mereka akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menuntut jaminan keselamatan yang sama ke atas Tharmendran.

Manakala Manogaran yang ahli parlimen Teluk Intan, pula meminta TUDM mengemukakan bukti dakwaan mereka bahawa Tharmendran masih bertugas dengan pasukan itu, seperti yang didakwa di Mahkamah Sesyen Isnin lalu.

 

ADS