BERITA

Laporan polis dakwa PM hina mahkamah

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Sep 2010, 8:06 pagi

Seorang pemimpin PAS Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa mengandungi unsur menghina Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan kes saman peneroka Felda kemahang Tiga di Kelantan.

Turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Yusoff Nor.

Laporan tersebut dibuat oleh yang dipertua PAS Jempol, Abd Rahman Ramli di balai polis Dang Wangi di ibunegara pada kira-kira jam 10.45 pagi.

police report against pm najib Beliau diringi oleh naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman serta pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar dan tiga peneroka Felda jempol.

Dalam laporannya, Abd Rahman mendakwa, Najib membuat ucapan tersebut ketika berbuka puasa dengan peneroka Felda Gugusan Serting, Negeri Sembilan pada 26 Ogos di Masjid Bandar Seri Jempol.

Beliau mendakwa perdana menteri dilaporkan oleh media sebagai berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah kerana peguam yang mewakili Felda tidak hadir, dan bukan disebabkan olen penipuan.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga kerana menipu mereka berhubung gred buah kelapa sawit.

Dalam laporan polis itu, Abd Rahman mendakwa kenyataan Najib bahawa beliau akan pastikan perbicaraan kes yang serupa di masa akan datang bakal dimenangi Felda adalah "suatu campurtangan dan ugutan kepada badan kehakiman kerana beliau adalah perdana menteri".

Dalam aduannya juga, Abd Rahman turut memetik laporan kenyataan Ahmad yang mendakwa "keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan oleh wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya di pihak Felda seperi yang didakwa oleh sesetengah pihak".

Sehubungan itu, Abd Rahman mendakwa kenyataan ahli parlimen Pontian itu adalah "ungkapan melampau, biadap dan tidak menghormati keputusan mahkamah".

"Keputusan hakim akan dibuat berasaskan fakta kes dan tidak wajar dipertikaikan. Bahkan perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, barisan peguam Felda hampir 10 orang yang hadir.

"Jadi tidak timbul sama sekali Felda kalah kerana peguam mereka tidak hadir," laporan polis itu dipetik.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.