mk-logo
Berita
Exco: Pemilihan PKR Merbok dicemari aksi 'ganas'

Exco kerajaan Kedah S Manikumar mendakwa mesyuarat cabang tahunan Merbok dicemari dengan aksi "ganas" apabila perwakilan cuba menyerang, mengugut dan menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga ADUN Bukit Selambau membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Muda dekat Kuala Kedah berhubung perkara itu awal petang semalam.

Katanya, dalam mesyuarat di sebuah dewan di Bedong semalam, terdapat "unsur-unsur penyelewengan" dan berlaku kekecohan apabila pengawas pemilihan menghentikannya.

"Ini mengakibatkan rasa tidak puas hati di kalangan (perwakilan) pemilihan di situ dan mereka bertindak ganas untuk menyerang saya, mengugut dan menggamburkan kata-kata kesat.

"Saya rasa keselamatan saya dan keluarga saya terancam," laporan polisnya itu dipetik.

Semalam, Malaysiakini melaporkan proses pemilihan PKR cabang Merbok dan Jerai - kedua-dua di Kedah - ditangguhkan ekoran dakwaan berlakunya penyelewengan.

Pemilihan bagi jawatan ketua cabang Merbok menarik perhatian apabila ketuanya Abdul Rashid Din menarik diri dan ahli majlis pimpinan pusat Saiful Izham Ramli merupakan calon tunggal bagi jawatan itu.

Manakala bagi jawatan timbalan ketua pula, Manikumar - yang memegang portfolio perdagangan dalam negeri - berdepan dengan naib ketua cabang, Mukhtar Ismail.

Usaha mendapatkan ulasan Manikmar hari ini belum berhasil. Malaysiakini difahamkan beliau kini berada di Thailand untuk urusan rasmi kerajaan negeri.

Manakala pengerusi jawatankuasa pemilihan Dr Molly Cheah ketika dihubungi masih belum jelas berhubung kejadian itu. Bagaimanapun beliau mengakui "ada mendengarnya".

Sementara itu, Pentadbir Pemilihan PKR Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin hari ini mengesahkan penangguhan mesyuarat dan pemilihan di cabang itu.

Katanya, pihaknya telah menerima laporan awal daripada pengawas pemilihan yang bertugas di cabang tersebut dan "terdapat satu kumpulan yang menimbulkan kekacauan".

"Kita akan tunggu laporan penuh daripada pengawas dan akan membuat siasatan," katanya sambil menjangkakan masalah sebenar akan diketahui minggu depan.

"Selepas itu kita akan keluarkan kenyataan rasmi (mengenai perkara itu)."

Sementara itu, tambahnya, kecuali di Jerai, perjalanan mesyuarat dan pemilihan di tempat lain setakar ini berjalan lancar.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS