AGM PKR Cabang JB diteruskan
Dikemaskini 7.40pm: Mesyuarat agung tahunan cabang PKR Johor Bahru diteruskan walaupun sebelum itu, ada sekumpulan ahli lagi yang membantahnya atas beberapa sebab termasuk dakwaan tidak menerima notis untuk bermesyuarat.
Sumber-sumber memaklumkan kepada Malaysiakini mengenai tindakan kumpulan yang satu lagi itu meneruskan AGM pada hari ini.
Mesyuarat tersebut memilih Tan Pon Lai sebagai ketua cabang yang baru.
Mereka turut membuat pencalonan bagi peringkat pusat, dengan mencalonkan Azmin Ali sebagai timbalan presiden.
Sebelum itu, jurucakap kumpulan yang membuat bantahan tersebut, Bobby Ibrahim yang juga setiausaha kerja bahagin berkata, pihaknya membuat bantahan itu atas tiga sebab:
- Tidak mendapat notis panggilan mesyuarat dari cabang;
- Bantahan berhubung kes penggantungan ketua cabang Johor Bahru, Subrapaida Thally, oleh PKR pusat pada 29 Ogos lalu tanpa dipanggil membela diri; dan
- Notis pemilihan lewat dihantar.
Menurut Bobby, notis pemilihan itu sepatutnya dihantar dalam tempoh 42 hari sebelum ianya diadakan.
Bagaimanapun, katanya, notis panggilan diterima dari ibupejabat parti diterima pada 8 September, sedangkan tarikh pada penamaan calon ialah pada 5 September, iaitu tiga hari sebelumnya.
Katanya, bantahan tersebut dibuat kepada setiausaha cabang tersebut, Vincent Da Silva, yang kemudian memanjangnya kepada jawatankuasa pemilihan pusat dan juga setiausaha agung PKR.
Berikutan itu, tiada notis yang dapat dikeluarkan oleh pihak cabang berhubung mesyuarat tersebut.
Berhubung kes Subrapaida pula, Bobby berkata, pihaknya hanya mengetahui tentang penggantungannya, pada 6 September, iaitu sehari selepas tarikh penamaan calon.
"Kira-kira 40 ahli hadir pagi tadi," katanya.
Menurut Bobby, tarikh baru mesyuarat agung tahunan cabang tersebut akan diputuskan oleh ibupejabat parti.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, Bobby mempersoalkan tindakan pihak yang meneruskan mesyuarat hari ini dan mendakwa ianya tidak sah.

