50 cabang AMK gagal serah senarai calon
Kira-kira 50 cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) gagal menghantar keputusan rasmi pencalonan bagi jawatan tertinggi pergerakan itu.
Daripada 160 cabang AMK yang bermesyuarat, hanya 103 cabang yang menghantar senarai pencalonan mereka sebelum tarikh tutup 10 Oktober lalu.
Ketika dihubungi
Malaysiakini
, setiausaha kerja AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, keputusan tidak rasmi menunjukkan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan ketua AMK.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendapat 50 pencalonan, manakala penyandang jawatan tersebut, Shamsul Iskandar Md Akin mendapat 38 pencalonan.
Manakala seorang lagi yang turut dicalonkan bagi jawatan ketua AMK - Rafizi Ramli - mendapat 14 pencalonan dan Hasmi Hashim memperolehi 1 pencalonan.
Ketua AMK Selangor, Khairul Annuar Ahmad Zainuddin mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan timbalan ketua AMK pusat.
Beliau mendapat 54 pencalonan, diikuti ADUN Teja, Chang Lih Kang pula mendapat 22 pencalonan.
Manakala ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari mendapat 19 pencalonan.
ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Rafizi pula masing-masing mendapat satu pencalonan sahaja.

