Beberapa pemimpin menyandar harapan penuh dalam perhimpunan Agung Umno ke-64 yang berlangsung bermula hari ini sebagai titik tolak menarik semula sokongan rakyat kepada parti itu selepas pilihan raya umum 2008.
Bahkan ada di kalangan pemimpin memberitahu Malaysiakini menganggap perkampungan selama lima hari yang akan membahaskan tiga usul - politik, agama dan bangsa serta ekonomi - menganggapnya sebagai "persidangan ke arah penerimaan kembali sokongan rakyat" kepada parti tersebut.
Apatah lagi, perhimpunan itu diadakan berdekatan dengan tarikh kempen dua pilihan raya kecil - DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi - yang bermula 26 Oktober ini dianggap peluang terbaik yang terhidang di hadapan mata untuk menterjemahkan dan membuktikan penerimaan rakyat terhadap parti itu.
Malah terdapat permerhati politik turut menegaskan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kerusi tersebut, bakal menghangatkan dan menjadi perbahasan utama perwakilan yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Saya lihat persidangan tahun ini adalah persidangan ke arah penerimaan kembali sokongan rakyat. Sokongan rakyat kepada Umno ada penambahan.
"Adalah menjadi harapan kita berkampung di PWTC, selepas membahaskan tiga usul tersebut, kita pulang dengan semangat baru dan azam baru untuk terus mengembalikan sokongan rakyat," kata Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus.
Bajet terima cadangan akar umbi
Menurutnya, mengekalkan sokongan rakyat amat penting untuk memastikan kerajaan BN terus berkuasa seterusnya berusaha untuk mengembalikan negeri yang terlepas kepada Pakatan Rakyat.
Katanya, bagi memastikan usaha itu tercapai perkara utama yang perlu diberi perhatian penuh dengan menyandarkan harapan kepada semua kepimpinan Umno semua peringkat menghayati konssep 1Malaysia dengan penuh rasa tanggungjawab.
"Kita perlu menghayati konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, saya yakin rakyat akan menerima kita. Mereka akan seronok dengan kita.
"Kalau kita ikhlas dan menghayati 1Malaysia di semua peringkat, saya berkeyakinan penuh Umno dapat meneruskan khidmat terbaik untuk rakyat," katanya yang juga ketua bahagian Selayang.
Menurutnya, banyak perkara yang dilaksanakan contohnya agihan biasiswa dan pembentangan bajet pada Jumaat lalu yang disifatkan "bajet rakyat" setelah mengambil kira pandangan dan kehendak rakyat.
"Saya sebagai pemimpin di akar umbi, turut diminta (memberi) cadangan, dan saya kira pemimpin lain pun dapat (arahan itu), maka saya hantar (cadangan) itu kepada pucuk pimpinan (untuk pertimbangan)," katanya.
Pemuda, Puteri jangan lari tumpuan
Mengulas lanjut mengenai dua pilihan raya kecil itu, Abdul Shukor berkata walaupun ia menjadi tumpuan perbahasan akar umbi dan jentera harus bekerja kuat dan tidak mengambil mudah dengan kekuatan parti lawan.
"Ia (kemenangan) menjadi titik permulaan. Ia penting untuk memberi tamparan kepada Pakatan Rakyat walaupun kita berjaya dalam pilihan raya kecil sebelum ini," katanya yang juga ADUN Kuang.
Katanya, beliau optimis yakin BN mampu merampas kerusi DUN Galas daripada PAS dan mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya kecil DUN tersebut 4 November depan.
Mengulas mengenai ketiga-tiga sayap parti, Abdul Shukor berkata walaupun Pemuda dan Puteri menerima teguran daripada pucuk pimpinan, ia perlu dianggap sebagai teguran membina.
Malah, katanya, Pemuda dan Puteri juga perlu lebih memberi fokus ke arah menarik minat golongan muda khususnya pengundi berumur 45 kebawah.
"Jadi usaha perlu dibuat, harus diperbanyakkan program-program. Saya berharap Pemuda dan puteri memberi tumpuan. Jangan lari tumpuan untuk mengukuhkan parti," katanya yang merupakan bekas ketua Pemuda Umno Selangor.
