Pro-Beng Hock intai 100,000 tandatangan
Kumpulan yang menamakan diri mereka Malaysians for Beng Hock (Rakyat Malaysia untuk Teoh Beng Hock) menganjurkan kutipan 100,000 tandatangan dalam tempoh tiga bulan ini bagi mendesak penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian pembantu politik itu.
Ini kerana mereka beranggapan, penghujahan akhir pada 10 Disember ini tidak akan dapat menjawab persoalan seputar kematian misteri lelaki berumur 30 tahun itu.
Setakat ini, lebih 5,000 orang dikumpulkan hasil dua acara yang berlangsung beberapa bulan ini, kata penganjur Ng Yap Hwa.
Kumpulan yang turut mengumpulkan tandatangan daripada ahli parlimen itu juga melancarkan petisyen berasingan menjelang masa berkempan dalam pilihan raya kecil Galas lalu.
Bagaimanapun menurut penyelarasnya Chong Kok Siong, mereka setakat ini hanya mendapat tandatangan daripada ahli parlimen DAP Teresa Kok (Seputeh) dan Teo Nie Ching (Serdang) sebelum ditahan polis atas dakwaan melangggar peraturan pilihan raya.
"Kempen melibatkan anggota parlimen ini berterusan tetapi kami kini mengutamakan petisyen awam kerana ia lebih penting memandangkan inkues akan membuat kesimpulan pada Disember," katanya.

